WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DUTERTE TIDAK AKAN DIBICARAKAN DI MAHKAMAH BELANDA, KATA DUTA FILIPINA

13/03/2025 06:06 PM

MANILA, 13 Mac (Bernama-PNA) -- Bekas Presiden Filipina Rodrigo Duterte tidak akan dibicarakan di mahkamah tempatan Belanda, kata Duta Filipina ke Belanda J. Eduardo Malaya pada Khamis.

Duta itu menyatakan bahawa bekas pemimpin itu kini dalam tahanan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di Pusat Tahanan ICC di The Hague.

“(Dia) tidak akan dibawa ke mahkamah Belanda,” kata Malaya kepada Agensi Berita Filipina (PNA).

“Prosiding didengar di hadapan ICC. Tiada keperluan bagi seseorang yang ditahan untuk dibawa ke mahkamah tempatan Belanda di bawah Statut Rom.”

Susulan penahanan Duterte dan penyerahannya kepada ICC, pakar undang-undang antarabangsa dan Dekan Sekolah Siswazah Undang-Undang San Sebastian College-Recoletos, Rodel Taton, berkata langkah seterusnya adalah pengesahan identiti dan dakwaan terhadapnya.

Beliau menjelaskan kamar praperbicaraan akan menentukan sama ada terdapat asas yang mencukupi untuk meneruskan perbicaraan.

“Sekarang, dia adalah suspek, tetapi apabila disahkan, dia akan menjadi tertuduh dalam kes tersebut,” katanya.

“Setelah identiti dan dakwaan disahkan, ia akan beralih daripada situasi kepada kes rasmi.”

Sekiranya perbicaraan diteruskan, pendakwaan akan mengemukakan bukti, sementara Duterte akan mempunyai peluang untuk membentangkan pembelaannya, tambah Taton.

Duterte telah diserahkan waran tangkap ICC atas jenayah terhadap kemanusiaan selepas ketibaannya dari Hong Kong melalui penerbangan Cathay Pacific CX 907.

ICC melancarkan siasatan pada September 2021 terhadap dakwaan jenayah yang dilakukan semasa kempen antidadah Filipina dari 1 Nov 2011 hingga 16 Mac 2019, satu tempoh yang merangkumi masa perkhidmatan Duterte sebagai Datuk Bandar Davao City dan Presiden Filipina.

Siasatan itu digantung pada November 2021 selepas Manila memohon penangguhan, dengan alasan siasatan tempatan mengenai kematian dan penyalahgunaan yang dilaporkan. Namun, pada 2023, ICC membenarkan siasatan diteruskan.

Dalam waran tangkap setebal 15 muka surat, ICC menegaskan bidang kuasanya ke atas kes itu, menyatakan bahawa dakwaan jenayah berlaku semasa Filipina masih menjadi negara pihak kepada Statut Rom.

Filipina meratifikasi Statut Rom pada November 2011 tetapi menarik diri pada 17 Mac 2018, dengan penarikan itu berkuat kuasa pada 17 Mac 2019.

-- BERNAMA-PNA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan