BUTTERWORTH, 14 Mac (Bernama) -- Seorang pekerja binaan maut selepas terjatuh daripada ketinggian 12 meter ketika membaiki bumbung di sebuah kilang pembuatan di Perai di sini semalam.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang Hairozie Asri berkata lelaki tempatan berusia 39 tahun itu mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan diberikan bantuan pernafasan (CPR) oleh pekerja kilang sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata sepasukan pegawai penyiasat jabatannya telah ke lokasi berkenaan sebaik sahaja menerima pemberitahuan mengenai kemalangan yang berlaku kira-kira 11 pagi itu.
"Daripada siasatan awal yang dijalankan, mendapati mangsa merupakan pekerja daripada syarikat kontraktor yang dilantik untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan di kilang tersebut lebih daripada 10 tahun.
"Mangsa dilaporkan telah memijak bumbung atap asbestos yang berusia lebih daripada 50 tahun sebelum terjatuh ke lantai premis tersebut dengan ketinggian lebih 12 meter," katanya dalam kenyataan.
Hairozie berkata JKKP Pulau Pinang mengeluarkan notis pemberhentian serta-merta ke atas kerja-kerja di kawasan kejadian sehingga siasatan selesai.
Beliau berkata pihaknya juga mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan mengambil langkah penambahbaikan.
"Menjadi tanggungjawab majikan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja kerana majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, perlu membuat analisis risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum sebarang kerja dijalankan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial