WILAYAH - UTARA > BERITA

DUA EKOR LEMBU GOLEK HIDANGAN ISTIMEWA ‘IFTAR ON THE ROAD’

15/03/2025 10:55 AM

KEPALA BATAS, 15 Mac (Bernama) -- Lembu golek menjadi menu istimewa berbuka puasa yang disajikan kepada kira-kira 1,000 pengunjung Karnival Mahabbah di Bertam Square di sini, bersempena program ‘Iftar on the road’, semalam.

Sejak 6.30 petang lagi, orang ramai yang kebanyakannya hadir bersama keluarga dilihat telah mula beratur panjang bagi mendapatkan juadah yang difahamkan belum pernah ada di lokasi lain dan diberikan secara percuma bersama set nasi talam.

Penganjur program Zaini Aboo Hassan berkata dua ekor lembu ditumbangkan khusus bagi acara tersebut dengan tiap seekor haiwan itu dianggarkan seberat lebih 200 kilogram (kg).

“Setiap tahun kita cuba cari idea untuk berikan kelainan buat pengunjung, dan istimewa untuk ‘Iftar on the road’ kali ini, kita bawakan lembu yang digolek seekor-seekor.

“Jika tahun lepas kita kejutkan mereka dengan kurma kepala kambing, tetapi tahun ini kita sediakan menu lain daripada yang lain iaitu lembu golek. Biasanya kita selalu tengok kambing golek, uniknya di sini ada lembu golek,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, malam tadi.

Zaini berkata idea tersebut timbul bagi memberikan sesuatu yang akan dikenang dan diingati oleh pengunjung, dan di samping lembu pihaknya turut menyediakan lebih 200 talam set nasi bersama dalca dan air asam sebagai juadah berbuka puasa yang boleh dimakan tiga ke empat orang.

Beliau berkata hampir 24 jenis herba digunakan untuk perapan daging berkenaan, dan beliau turut mengaku bahawa pasukannya berdepan cabaran untuk menyediakan menu tersebut memandangkan saiz lembu yang besar dan berat.

Zaini berkata sambutan diterima amat menggalakkan berbanding tahun lepas dengan kira-kira 1,000 orang dapat duduk beramai-ramai menjamah juadah itu yang berkonsepkan jamuan di kawasan terbuka.

Sementara itu, seorang pengunjung Shahar Lutfi Azhar, 30-an dari Sungai Dua berkata selain membeli-belah kelengkapan Syawal, beliau memang datang bersama isteri dan sepupu ke karnival itu semata-mata mahu merasa lembu golek.

“Sejak awal minggu saya dah tunggu nak datang ke sini sebab tahu ada lembu golek. Tahun lepas saya tak berkesempatan untuk datang tapi tahun ini memang teruja,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan