Oleh Shakir Husain
NEW DELHI, 15 Mac (Bernama) -- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berbuka puasa bersama pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh pada Jumaat sambil menyuarakan kebimbangan serius mengenai pemotongan bantuan kepada lebih sejuta pelarian di Myanmar.
Guterres, yang ditemani Ketua Penasihat Kerajaan Sementara Bangladesh, Muhammad Yunus menegaskan bahawa lebih banyak sumber diperlukan bagi menyokong pelarian Rohingya serta komuniti tempatan yang menampung mereka di Cox’s Bazar, lokasi penempatan pelarian terbesar di dunia.
Program Makanan Sedunia (WFP) PBB pada 7 Mac memberi amaran bahawa pihaknya terpaksa mengurangkan bekalan makanan bulanan kepada pelarian Rohingya daripada US$12.50 kepada hanya US$6 seorang sekiranya tidak menerima dana segera.
“Kita berada di ambang krisis kemanusiaan yang mendalam dengan pengumuman pemotongan bantuan kewangan oleh beberapa negara. Kita sedang berdepan risiko yang sangat kritikal,” kata Guterres.
Beliau menyifatkan lawatannya ke Cox’s Bazar sebagai "misi solidariti" sempena Ramadan.
“Berpuasa dan berbuka puasa bersama anda adalah tanda penghormatan saya terhadap agama dan budaya anda. Saya di sini untuk menarik perhatian dunia terhadap nasib – serta potensi – pelarian Rohingya,” katanya.
Guterres menekankan penderitaan berdekad yang dialami Rohingya di Myanmar, namun memuji ketabahan mereka yang wajar mendapat sokongan global.
"Selepas puluhan tahun diskriminasi dan ditindas, kita menyaksikan penghijrahan besar-besaran lapan tahun lalu susulan pembunuhan beramai-ramai di negeri Rakhine," katanya.
Bangladesh menerima ratusan ribu pelarian Rohingya pada Ogos dan September 2017 selepas pasukan keselamatan Myanmar melakukan kekejaman terhadap mereka.
Ketika itu, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Zeid Ra'ad Al Hussein menyifatkan situasi itu sebagai "contoh pembersihan etnik yang klasik".
Tahun lalu sahaja, sekitar 70,000 pelarian Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.
Dalam lawatan pertamanya ke Cox’s Bazar sejak 2018, Guterres bertemu dengan ramai pelarian, termasuk wanita dan kanak-kanak, di kem Ukhiya.
“Mereka berkongsi kisah penderitaan mereka di Myanmar dan perjalanan getir ke sini. Mereka ingin pulang – Myanmar adalah tanah air mereka.
"Penyelesaian utama kepada krisis ini adalah kepulangan secara selamat, sukarela dan bermaruah,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak yang bertelagah di Myanmar agar melindungi orang awam, menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa, mengelakkan hasutan serta membuka laluan ke arah demokrasi.
"Penyelesaiannya mesti dicari di Myanmar. Kita tidak akan berputus asa sehingga keadaan membolehkan kepulangan pelarian secara selamat.
"Sehingga itu, saya menyeru masyarakat antarabangsa agar tidak mengurangkan sokongan kepada pelarian Rohingya," kata Guterres.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial