WILAYAH - UTARA > BERITA

POLIS TAHAN 13 WARGA NEPAL CUBA MERUSUH DI JALAN RAYA

15/03/2025 12:24 PM

IPOH, 15 Mac (Bernama) -- Polis menahan 13 warga Nepal yang bekerja di sebuah kilang kerana disyaki cuba mencetuskan rusuhan di Changkat Jong, Teluk Intan, semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal Abidin berkata kejadian itu berpunca daripada satu kemalangan maut langgar lari melibatkan seorang pejalan kaki warga Nepal di Batu 8, Jalan Changkat Jong kira-kira 9.35 malam.

“Siasatan mendapati kira-kira 1,000 pekerja sebuah kilang di kawasan itu turun ke lokasi kejadian sehingga menghalang lalu lintas.

“Pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Teluk Intan telah digerakkan bagi menenangkan dan mengawal situasi. Keadaan pulih sepenuhnya pada 2 pagi tadi dan semua pekerja warga Nepal telah kembali ke asrama mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semua suspek yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan, manakala kes kemalangan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bakri seterusnya meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Kes, Insp Mohammad Syamil, di talian 011-10065817 bagi membantu siasatan.

Terdahulu tular video di Facebook yang menunjukkan sekumpulan warga asing sedang merusuh di atas jalan raya sehingga menyebabkan kenderaan tidak dapat menggunakan laluan itu.

Sementara itu Bakri berkata Mahkamah Majistret Teluk Intan telah mengeluarkan perintah reman hari ini terhadap kesemua mereka yang ditahan, sehingga 18 Mac bagi membantu siasatan.

"Pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terlibat dalam kejadian ini untuk memastikan keselamatan awam terjamin dan tindakan sewajarnya diambil mengikut undang-undang. 

"Siasatan sedang dijalankan dan orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi sementara siasatan diteruskan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan