WILAYAH - SELATAN > BERITA

112 KES PENIPUAN DALAM TALIAN BABITKAN KERUGIAN RM1.03 JUTA DI MELAKA - EXCO

15/03/2025 12:51 PM

ALOR GAJAH, 15 Mac (Bernama) -- Sebanyak 112 kes penipuan dalam talian membabitkan kerugian kira-kira RM1.03 juta dilaporkan di Melaka dalam tempoh 1 Jan hingga 13 Mac lepas.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata ia melibatkan penipuan jual beli dalam talian, 'love scam' dan pelaburan tidak wujud, dengan mangsanya termasuk kalangan ibu tunggal dan penjawat awam.

"Dalam tempoh sama tujuh tangkapan berjaya dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain tujuh pertuduhan telah dibuat berdasarkan laporan yang dibuat mangsa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Program Peduli Siber, Asnaf Sejahtera anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Urusan MCMC Datuk Zulkarnain Mohd Yasin.

Fairul Nizam berkata pelbagai usaha telah dilaksanakan kerajaan negeri bagi mengatasi kes penipuan dalam talian, khususnya bagi meningkatkan kesedaran ramai berkaitan sindiket penipuan itu, antaranya dengan menggerakkan 'Task Force Judi Online, Fraud dan Jenayah Cyber'. 

Sementara itu, Zulkarnain berkata selain isu penipuan dalam talian, MCMC turut memberi fokus kepada penyalahgunaan media sosial melibatkan hantaran jelik isu 3R iaitu raja, agama dan kaum, yang dilihat semakin meningkat.

Beliau berkata perkara itu perlu diberi perhatian kerana ia boleh mengganggu-gugat keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Kita akan melakukan gerak kerja secara besar-besaran bagi melaksanakan Kempen Kesedaran Keselamatan Siber, yang  meliputi semua lapisan masyarakat, bagi meningkatkan kesedaran berkaitan penyalahgunaan media sosial melibatkan isu 3R serta penipuan dalam talian," katanya.

Beliau berkata kempen berkenaan akan dilaksanakan dengan kerjasama PDRM, Jabatan Pendidikan dan kerajaan negeri, termasuk menerusi pendekatan turun padang seperti di bazar Ramadan atau lokasi tumpuan awam bagi menyampaikan maklumat dan meningkatkan kesedaran berkaitan isu berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan