WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LIMA MAUT, 27 CEDERA KREN RUNTUH DI LEBUHRAYA DI BANGKOK

15/03/2025 01:01 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 15 Mac (Bernama) -- Seramai lima orang disahkan maut manakala sekurang-kurangnya 27 lagi cedera selepas kren pembinaan bagi projek lebuh raya runtuh di daerah Chom Thong, Bangkok awal pagi Sabtu.  

Pasukan bomba dan penyelamat bersama anggota Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Pentadbiran Metropolitan Bangkok serta Yayasan Poh Teck Tung segera dikerahkan ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan mangsa, termasuk beberapa orang yang terperangkap di atas kren.  

Menurut pihak berkuasa Thailand, insiden berlaku berhampiran pintu masuk Lebuhraya Ekspres Dao Khanong, menyebabkan rasuk konkrit yang sedang dalam pembinaan jatuh dan menghempap sebahagian struktur lebuh raya serta beberapa pekerja.  

"Sekurang-kurangnya lima lelaki maut dalam kejadian yang berlaku sekitar 1.40 pagi (waktu tempatan).

Runtuhan itu berlaku kira-kira 200 meter dari pintu masuk lebuh raya apabila rasuk konkrit jatuh ke atas struktur lebuh raya sedia ada," menurut pihak berkuasa pada Sabtu.  

Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian, sementara Pihak Berkuasa Lebuhraya Ekspres Thailand (EXAT) melakukan penilaian terhadap tahap kerosakan.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan