WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM ANWAR MINTA KEMENTERIAN EKONOMI BERI PERHATIAN 10 CADANGAN PROJEK UTAMA DI NEGERI SEMBILAN

16/03/2025 09:29 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Kementerian Ekonomi untuk memberikan perhatian khusus kepada 10 cadangan projek keutamaan di Negeri Sembilan, khususnya berkaitan projek tebatan banjir.

Menerusi catatan di Facebook hari ini, Perdana Menteri berkata satu perkara yang menarik perhatian beliau ialah keperluan segera dan mendesak untuk membina Hospital Tuanku Jaafar 2, di Seremban bagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat.

“Justeru saya telah meminta Ketua Setiausaha Negara untuk membawa cadangan ini ke Mesyuarat Jemaah Menteri minggu hadapan agar ia dapat ditelaah dan dipercepatkan,” katanya menerusi hantaran itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Sembilan di Majlis Daerah Tampin, hari ini. 

Turut hadir pada mesyuarat khas itu ialah Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, serta barisan kepimpinan kerajaan negeri dan Persekutuan.

Anwar berkata mesyuarat itu antara lain berfungsi sebagai wahana untuk menilai pelbagai projek pembangunan negeri serta perencanaan jangka panjang yang menggarap aspek infrastruktur asas seperti pendidikan, kesihatan, jalan raya, tebatan banjir dan pengurusannya, alam sekitar dan sumber air.

Dalam mesyuarat itu Perdana Menteri berkata beliau turut memberi penekanan bahawa setiap projek yang direncana perlu dilaksanakan dengan sinergi yang kukuh antara kementerian dan agensi berkaitan.

“Kerenah birokrasi yang boleh melambatkan pelaksanaan projek mesti diminimumkan agar manfaatnya dapat dinikmati rakyat secepat mungkin.

“Saya yakin dengan perancangan yang teliti dan pelaksanaan yang berkesan, projek-projek ini akan memberi limpahan manfaat kepada warga Negeri Sembilan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan