WILAYAH - SARAWAK > BERITA

FINLAND TOLAK EKSPORT TELUR KE AS KERANA BIROKRASI - LAPORAN

17/03/2025 01:54 PM

MOSCOW, 17 Mac (Bernama-SPUTNIK/RIA Novosti) -- Pihak berkuasa Finland, yang dihubungi oleh Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan telur di tengah-tengah kekurangan bekalan di negara itu enggan menyediakan telur kerana kemungkinan kesulitan dengan birokrasi dan pemeriksaan, lapor Sputnik/RIA Novosti memetik laporan siaran Yle.

Pihak berkuasa AS sebelum ini meminta Denmark dan beberapa negara Eropah lain untuk mengeksport telur ke pasaran AS akibat kekurangan bekalan di negara itu.

Persatuan Ternakan Ayam Finland memberitahu Yle bahawa AS telah menghubungi pihak berkuasa Finland mengenai isu eksport telur. Pengarah eksekutif persatuan itu, Veera Lehtila, memberitahu stesen penyiar pada Sabtu, yang beliau tidak melihat kemungkinan untuk mengeksport produk itu pada masa ini, kerana Finland belum mengadakan rundingan dengan AS mengenai akses pasaran. Proses yang panjang ini mungkin memerlukan pemeriksaan yang lama, katanya.

"Memulakan eksport bukanlah perkara yang mudah kerana tiada peraturan yang dipersetujui," kata Lehtila seperti yang dipetik oleh Yle.

Ketua persatuan itu turut menegaskan bahawa Finland tidak mempunyai kebenaran untuk mengeksport telur ke AS, dan pelbagai proses birokrasi serta kajian diperlukan sebelum penghantaran telur boleh dilaksanakan memandangkan negara itu tidak pernah mengeksport produk berkenaan sebelum ini.

"Jutaan unggas terpaksa dimusnahkan di sana kerana selesema burung. Kami mempunyai empat juta ayam penelur secara keseluruhan di Finland. Jumlah yang boleh kami eksport tidak akan menyelesaikan kekurangan telur mereka," kata Lehtila.

AS menghadapi kenaikan mendadak harga telur akibat wabak selesema burung. Menurut tinjauan RIA Novosti, dalam kalangan negara G20, telur paling mahal dijual di AS pada Mac, walaupun pada akhir tahun lepas harga tertinggi dicatatkan di Australia.

Sebelum ini, data Eurostat menunjukkan yang harga borong telur ayam di Kesatuan Eropah meningkat kepada 268.5 euro setiap 100 kilogram, mencapai paras tertinggi sepanjang masa di tengah-tengah penyebaran selesema burung di negara kesatuan itu. Pada masa yang sama, import EU bagi produk ini melonjak hampir satu pertiga tahun lepas. Selain itu, awal minggu ini, statistik rasmi menunjukkan, kos telur di AS meningkat sebanyak 59 peratus tahun ke tahun pada Februari, dengan pertumbuhan bulan ke bulan dianggarkan pada 10.4 peratus.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan