WILAYAH - SARAWAK > BERITA

EPIC SASAR HASIL LEBIH TINGGI PADA TAHUN KEWANGAN 2025, RAIH KONTRAK BAHARU PETRONAS - CEO

17/03/2025 09:32 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) menyasarkan hasil sebanyak RM470 juta bagi tahun kewangan 2025 selepas meraih hasil memberangsangkan iaitu RM403.8 juta bagi tahun kewangan 2024 yang juga merupakan hasil tertinggi dalam sejarah syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Muhtar Suhaili berkata tambahan hasil syarikat pada tahun ini akan disumbangkan oleh anak syarikat baharunya iaitu Rahar Niaga Sdn Bhd (RNSB) selain melalui kontrak-kontrak baharu yang diperoleh khususnya daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

“Ketika ini, EPIC melalui anak-anak syarikat juga sedang dalam proses membida beberapa lagi projek dengan Petronas berkaitan minyak dan gas di Semenanjung dan Sabah. Kita berharap semoga EPIC akan memperoleh kontrak tambahan untuk terus menjana pertumbuhan syarikat,” katanya kepada Bernama.

EPIC yang ditubuhkan pada 17 Januari 1981, merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Terengganu di bawah Kumpulan Terengganu Inc yang beroperasi sebagai penyedia perkhidmatan minyak dan gas berintegrasi untuk rantaian nilai huluan dan hiliran.

Perniagaan terasnya seperti menyediakan perkhidmatan pangkalan bekalan dan sokongan bagi industri minyak dan gas luar pesisir, selain pengurusan pelabuhan, perkhidmatan marin, kejuruteraan, perkhidmatan penyelenggaraan dan tenaga boleh baharu.

Beliau berkata bagi tahun kewangan 2024, hasil syarikat disumbangkan oleh tiga kluster utama iaitu pangkalan bekalan dan sokongan (RM214 juta atau 53 peratus); minyak, gas dan tenaga boleh baharu (RM99 juta atau 25 peratus) serta pengurusan pelabuhan dan perkhidmatan marin (RM91 juta atau 22 peratus).

 

Prestasi pada 2024

Beliau berkata pada 2024, EPIC mengambil alih 70 peratus kepentingan dalam syarikat Rahar Niaga Sdn Bhd iaitu syarikat penyedia perkhidmatan penyimpanan dan pengisian bahan api marin.

Muhtar berkata tahun lepas juga EPIC turut mendapat kontrak yang penting dari Petronas untuk perkhidmatan penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM) serta penyambungan dan pentauliahan (HUC) untuk Pakej A2 (Aset Semenanjung Malaysia - Gas) dan pelantikan sebagai kontraktor panel bagi kerja-kerja pembinaan dan pengubahsuaian (CMW) untuk unit-unit hiliran melibatkan wilayah Pantai Timur, Pantai Barat dan Selatan.

“Selain itu, Lembaga Pengarah EPIC secara dasarnya bersetuju untuk kita mengembangkan perniagaan bukan sahaja di Semenanjung, malah ke Sabah dan Sarawak.

“Untuk Sabah, baru-baru ini kita menandatangani perjanjian kerjasama dengan Begas Energy Sdn Bhd untuk aktiviti berkenaan dengan perkhidmatan penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian di daratan (ONMCM), selain kita juga sedang dalam proses untuk membida beberapa projek berkaitan.

“Untuk Sarawak pula, EPIC dalam proses mencari rakan niaga strategik. Kita sedang berbincang dengan beberapa syarikat berpotensi untuk bekerjasama dalam aktiviti minyak dan gas, sebagaimana kita tahu Sarawak merupakan satu daripada negeri utama dalam industri minyak dan gas,” katanya.

Mengenai kerjasama dengan syarikat di Brunei Darussalam, Muhtar berkata pada November 2024, Epic memeterai surat hasrat (LOI) dengan Qaswa Holdings Sdn Bhd yang merupakan sebahagian daripada Kumpulan Adinin Brunei, khususnya melibatkan kemudahan penyelenggaraan dan penyahtauliahan marin bersepadu di negara berkenaan.

“(LOI) ini kita dalam proses melaksanakan kajian usaha wajar untuk kita memuktamadkan terma bagi pembelian kepentingan di syarikat tersebut. Kita sasarkan menjelang pertengahan tahun ini kita dapat memuktamadkan terma kerjasama di Brunei, Insya-Allah,” katanya.

Menjawab persoalan mengapa EPIC memilih untuk bekerjasama dengan syarikat di Brunei dan sama ada ia akan turut bekerjasama dengan negara lain selepas ini, beliau berkata faktor utama memilih Brunei kerana ia merupakan satu daripada negara apabila pendapatan utama keluaran dalam negara kasar (KDNK) daripada industri minyak dan gas.

“Manakala, dari segi lokasi kita antara Malaysia dan Brunei lebih dekat dan itu sangat bersesuaian khususnya dalam semangat ASEAN. Untuk negara lain, kita juga melihat potensi dan ada beberapa negara yang kita berjumpa dan adakan perbincangan awal,” katanya.

 

EPIC optimis kembangkan perniagaan terutama luar negara

Ujarnya, EPIC serius untuk mengembangkan perniagaan di luar negara tetapi dengan berhati-hati.

 “Apabila terlibat dengan pelaburan luar negara kita nak pastikan ia betul-betul memberi hasil pendapatan dan pulangan keuntungan kepada syarikat. EPIC sudah berusia 44 tahun pada tahun ini dan saya rasa adalah masa yang sesuai untuk kita kembangkan perniagaan syarikat,” katanya.

Muhtar berkata pada masa ini EPIC mempunyai 11 anak syarikat dan menyasarkan untuk memperoleh lebih banyak projek pada masa akan datang selain meningkatkan kualiti perkhidmatan untuk perniagaan sedia ada.

“Antara projek besar yang kita tengah laksanakan merupakan projek pembesaran pelabuhan (Kemaman, Terengganu). Ini merupakan projek mega apabila sekarang ini kita mempunyai kapasiti sekitar tujuh juta tan setahun dan tahun-tahun berikutnya kita akan memasang lagi empat kren.

“Tahun seterusnya, 2027 apabila kesemua kren ini dipasang, kapasiti pelabuhan akan meningkat sehingga 12 juta tan setahun, ini tanpa pembesaran pelabuhan, hanya untuk meningkatkan kemudahan dan kapasiti di dermaga sedia ada,” katanya dan menambah projek pembesaran pelabuhan tersebut dijangka siap pada 2030.

Beliau berkata terdapat juga projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) jajaran sisihan ke Pelabuhan Kemaman yang dijangka siap pada 2027 dan apabila pembesaran pelabuhan siap pada 2030, kapasiti pelabuhan akan meningkat sehingga 29 juta tan setahun.

“Di Pelabuhan Kemaman, kita belum ada perkhidmatan kargo kontena lagi. Jadi, sebahagian daripada strategi untuk pembesaran pelabuhan dan pengembangan perkhidmatan untuk mewujudkan perniagaan berkaitan kontena di sini.

“Kita masih dalam proses perbincangan dengan satu pengendali pelabuhan yang utama di Malaysia. Satu memorandum persefahaman (MOU) ditandatangani pada Februari lepas dan perbincangan lanjut mengenai terma dan syarat sedang berjalan antara kedua-dua pihak,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan