WILAYAH - TIMUR > BERITA

BEBAS DARIPADA BELENGGU DADAH, BEKAS KLIEN KINI MAHU BANTU WANITA SENASIBNYA

18/03/2025 02:57 PM

Oleh Mohd Noor Iqram Rosli

PASIR PUTEH, 18 Mac (Bernama) --  Kehidupan sepanjang berada di pusat pemulihan dadah penuh dengan keperitan dan kepayahan namun semua proses itu sanggup diharungi demi untuk berubah dan membina masa depan yang lebih cerah selain percaya pasti ada sinar harapan di penghujungnya.

Bagi bekas klien di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Bachok, Nik Affezah Nik Ab Ghani, 45, pengalaman pahit terjebak dengan najis dadah pada 2016 benar-benar membuatkan dia bertekad untuk tidak sesekali menoleh ke belakang.

Nik Affezah berkata dia tidak mahu mengenang lagi sejarah hitam itu sebaliknya mahu terus melangkah ke hadapan, menginsafi segala perbuatan yang dilakukan.

"Saya terjebak dengan dadah kerana pegangan agama yang rapuh, tidak solat dan tidak berpuasa. Ketika itu saya berkerja di kedai roti dengan gaji RM900 tetapi masih tidak cukup untuk sara diri dan keluarga kerana duit itu digunakan untuk beli dadah.

"Hidup sentiasa tertekan dan selalu bergaduh dengan suami, hinggalah ibu mertua menyedari perbuatan buruk saya itu dan membuat laporan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK)," katanya ketika ditemui Bernama di Puspen Bachok baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Nik Affezah berkata semasa menjalani tempoh pemulihan selama 17 bulan bermula Jun 2020, banyak ilmu dan kemahiran yang diperoleh kerana masa yang ada di pusat itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat seperti kelas agama dan ceramah, memasak serta mencanting batik.

"Apabila masuk Puspen, saya tidak berasa sunyi sebab guru dan rakan-rakan banyak beri sokongan serta bantuan untuk saya berubah.

"Alhamdulillah, selepas mengharungi fasa pemulihan saya akhirnya berjaya mencari kehidupan yang diinginkan selama ini untuk hidup bahagia bersama keluarga dan menjalani rutin harian seperti manusia biasa lain yang tidak ada masalah dengan najis dadah," katanya.

Nik Affezah yang kini dilantik sebagai Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) di pusat berkenaan berkata dugaan hidup yang ditempuhi itu akan dijadikan 'senjata' untuk membantu golongan wanita lain yang senasib apabila terjebak dengan penyalahgunaan dadah.

"Memang ada cabaran yang perlu saya lalui untuk membentuk mereka tetapi saya percaya dorongan serta bimbingan yang berterusan perlu dilakukan supaya mereka terus berubah dan tidak kembali mengambil bahan terlarang tersebut.

"Matlamat saya adalah ingin bantu klien dan memberi inspirasi kepada mereka untuk bangkit serta meneruskan hidup dengan lebih bermakna," katanya yang menambah sokongan daripada keluarga dan masyarakat juga penting untuk mereka berubah. 

Sementara itu, Pengarah PUSPEN Bachok Siti Mariam Bebakar berkata ketika ini terdapat 166 klien dari seluruh negeri ditempatkan di pusat itu untuk menjalani proses pemulihan berdasarkan tempoh hukuman yang dikenakan ke atas mereka, selain perlu mengikuti aktiviti dan peraturan yang disediakan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan