KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Perintah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) terhadap warga emas berhubung kes menampar seorang lelaki bukan Muslim di kedai serbaneka sebuah pusat beli-belah dipohon susulan terdapat isu teknikal berkaitan pertuduhan yang difailkan terhadapnya semasa prosiding berlangsung pagi tadi.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan berkata pihaknya berpuas hati satu pendakwaan wajar dikenakan terhadap individu tersebut.
“Isu teknikal melibatkan pertuduhan telah diatasi dan individu terbabit akan dituduh semula di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada sebelah petang,” menurut kenyataan itu.
AGC turut menjelaskan pihaknya komited memastikan semua pihak memperoleh keadilan yang sewajarnya selaras dengan peruntukan undang-undang.
Dalam prosiding pagi tadi Abdul Razak Ismail, 65, dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Elijah Ling Zhao Zhong, 22, di kedai serbaneka sebuah pusat beli-belah di sini pada 3.45 petang, Ahad lepas.
Majistret A.Shaarmini membuat perintah DNAA itu selepas pihak pendakwaan mendapat arahan terbaharu untuk mengklasifikasikan kes Abdul Razak sebagai DNAA dan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara (AGC), Putrajaya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial