WILAYAH - SARAWAK > BERITA

INDIKASI KEBAKARAN KARGO CETUS RESPONS KECEMASAN MH720

18/03/2025 11:18 PM

PUTRAJAYA, 18 Mac (Bernama) --Malaysia Airlines mengesahkan bahawa Penerbangan MH720 dalam perjalanan dari Jakarta ke Kuala Lumpur telah mengaktifkan respons kecemasan susulan petunjuk kebakaran di ruang kargo.

Pesawat yang membawa 115 penumpang dan tujuh anak kapal itu mendarat dengan selamat pada jam 6.18 petang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)  dan mematuhi protokol keselamatan standard, termasuk pengaktifan agen pemadam kebakaran di ruang kargo hadapan sebagai langkah berjaga-jaga.

Dalam satu kenyataan, Malaysia Airlines memaklumkan selepas mendarat, pesawat telah diarahkan ke kawasan terpencil, di mana semua penumpang dan anak kapal turun dengan selamat.

“Perkhidmatan bomba dan pasukan teknikal telah ditempatkan di lokasi bagi menilai situasi dengan teliti sebelum pintu kargo dibuka.

"Keselamatan dan kesejahteraan penumpang serta anak kapal sentiasa menjadi keutamaan kami dan kami komited untuk mengekalkan standard keselamatan tertinggi pada setiap masa," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, laman web penjejakan penerbangan, FlightRadar24, melaporkan di Facebook bahawa MH720 telah menghantar isyarat kecemasan pada kod transponder 7700 di selatan Kuala Lumpur, menandakan keadaan kecemasan umum.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan