WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DAP PERAK TUBUH JAWATANKUASA KHAS BANTU KEMPEN PRK AYER KUNING

19/03/2025 11:12 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- DAP Perak telah menubuhkan Jawatankuasa Gerak Khas untuk membantu kempen calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming berkata parti itu akan bertungkus-lumus berkempen bagi memastikan kerusi DUN Ayer Kuning kekal milik Kerajaan Perpaduan supaya kerajaan Perak kekal kukuh.

Nga berkata DAP akan melaksanakan strategi kempen secara menyeluruh di pelbagai kawasan untuk memastikan kemenangan calon kerajaan dalam PRK itu.

"DAP adalah sebuah parti yang berbilang kaum, kita akan menggerakkan jentera kempen ke kawasan-kawasan yang diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas program Sembang Kopi bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di sini hari ini.

Nga berkata pasukan kempen DAP Perak akan diketuai Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee Chuan How serta Exco kerajaan negeri A. Sivanesan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, dengan penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lepas akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ishsam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah menang dengan majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru.

Ketua Pemuda Amanah Perak Khairol Najib Hashim pula berkata pihaknya akan menganggap individu yang bertanding mewakili Kerajaan Perpaduan seolah-olah calon daripada parti itu sendiri.

“Dengan semangat perjuangan yang sama, jentera Pemuda Amanah Perak akan digerakkan sepenuhnya bagi memastikan kemenangan dalam PRK ini,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata Pemuda Amanah Perak akan melancarkan jentera PRK DUN Ayer Kuning pada 22 Mac ini.

Khairol Najib berkata Pemuda Amanah Perak akan menggerakkan seluruh jentera secara tersusun, sistematik dan agresif sepanjang tempoh 14 hari berkempen bermula 12 hingga 25 April.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan