KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang pengurup wang berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram yang membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi, berkata suspek direman selama dua hari bagi membantu siasatan, namun dilepaskan selepas mengadu sakit jantung.
Beliau berkata suspek kemudian dirujuk kepada doktor dan disahkan mengalami masalah jantung tersumbat sebelum dilepaskan bagi menerima rawatan lanjut.
Dalam pada itu, Azam berkata proses merakam keterangan Ismail Sabri mungkin akan mengambil beberapa sesi lagi sebelum selesai.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan pendakwaan, beliau berkata masih ada beberapa individu lain yang perlu dipanggil untuk dirakam keterangannya.
Petang tadi, bekas perdana menteri itu dilihat meninggalkan Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada 4.35 petang selepas proses merakam keterangannya berlangsung selama lebih enam jam.
Sumber SPRM mengesahkan bahawa proses merakam keterangan Ismail Sabri akan disambung pagi esok.
Beliau disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan serta perolehan dana untuk promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia sepanjang tempoh perkhidmatannya dari Ogos 2021 hingga November 2022.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial