WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MOHD SAID BANI RAIH ANUGERAH ‘COMMUNICATOR OF THE YEAR 2024' IABC ASIA PASIFIK

18/03/2025 11:28 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Presiden Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi (PRCA) Malaysia Prof Mohd Said Bani CM Din meraih anugerah 'Communicator of the Year 2024' International Association of Business Communicators (IABC) Asia Pasifik (APAC). 

PRCA Malaysia dalam kenyataan memaklumkan anugerah itu disampaikan pada majlis berprestij di Manila, Filipina pada Ahad lepas, sekali gus menandakan pengamal komunikasi pertama dari Malaysia menerima anugerah itu.

“Dengan lebih 30 tahun kecemerlangan dalam perhubungan awam, hal ehwal korporat dan strategi media, Mohd Said Bani telah mengubah persepsi terhadap peranan komunikasi sebagai pemangkin impak sosial dan korporat.

“Selaku pengasas bzBee Consult, beliau terus membentuk industri dengan kepimpinan berwawasan dan pengaruh transformasinya,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu, IABC APAC turut memuji legasi Mohd Said Bani dan komitmen beliau dalam memajukan komunikasi yang beretika, telus, dan berimpak, sambil menyatakan anugerah berkenaan mengukuhkan kedudukan beliau sebagai pemimpin global dan mengangkat nama Malaysia di persada industri komunikasi antarabangsa.

“Kejayaan bersejarah Prof Mohd Said Bani bukan sahaja pencapaian peribadi, tetapi juga satu pencapaian penting bagi industri komunikasi di Malaysia.

“Hasil kerjanya telah mengubah persepsi terhadap komunikasi, bukan sekadar sebagai fungsi sokongan tetapi tiang asas pengaruh, kepercayaan dan transformasi,” menurut jurucakap IABC APAC menerusi kenyataan itu.

Sementara itu, Mohd Said Bani menzahirkan terima kasih kepada IABC APAC dan menegaskan keyakinannya terhadap kuasa transformasi komunikasi.

“Komunikasi lebih daripada sekadar kata-kata, ia jambatan menghubungkan manusia, memberi inspirasi untuk perubahan dan membina kepercayaan.

“Memenangi anugerah Communicator of the Year 2024 bukan sekadar pencapaian peribadi, malah satu bukti kepada kekuatan penceritaan beretika, ketelusan, dan dialog yang berlandaskan tujuan dalam membentuk Malaysia yang lebih baik dan bersatu, serta dunia lebih harmoni," katanya.

Menurut kenyataan itu, anugerah terbabit juga adalah kejayaan untuk industri perhubungan awam dan komunikasi Malaysia, pengiktirafan terhadap potensinya di pentas global dan peringatan yang kuat mengenai impak komunikasi yang beretika, telus, dan berlandaskan tujuan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan