WILAYAH - TIMUR > BERITA

KADAR DIVIDEN SEUNIT LADANG KOSMA MENINGKAT KEPADA RM5,000 - WAN ROSDY

19/03/2025 01:50 PM

KUANTAN, 19 Mac (Bernama) -- Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) mengumumkan kadar dividen unit ladang ladang tahun ini berjumlah RM5,000 setiap unit, meningkat berbanding RM4,500 pada tahun sebelumnya. 

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pembayaran dividen itu merupakan tertinggi dalam tempoh 57 tahun, dipacu prestasi tahun kewangan 2024 susulan kenaikan harga sawit dan kecekapan pengurusan.  

"Berdasarkan prestasi kewangan yang kukuh, pendapatan ladang KOSMA mencatat jumlah sebanyak RM224.88 juta dengan keuntungan bersih RM134.17 juta.

"Mengambil kira prestasi ini serta komitmen Kosma dalam memastikan kebajikan anggota terus terpelihara, saya dengan sukacita mengumumkan kadar dividen unit ladang bagi tahun ini ditingkatkan kepada RM5,000 bagi setiap unit ladang," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata setiap anggota yang layak akan dibayar interim untuk satu unit ladang bermula hari ini bagi membantu anggotanya melakukan persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada hujung bulan ini.

Beliau berkata baki bayaran dividen itu pula akan dibuat semasa Mesyuarat Agung Tahunan KOSMA ke-40 pada 21 Jun nanti.

"Untuk makluman, jumlah unit ladang KOSMA pada masa kini adalah sebanyak 12,638 unit dan kos keseluruhan yang terlibat bagi pemberian dividen ialah RM63.19 juta.

"Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor ekonomi dan kesejahteraan anggota KOSMA yang kini berjumlah 1,456 orang," katanya.

Wan Rosdy berkata kerajaan negeri akan terus menyokong dan memperkasakan sektor koperasi demi kesejahteraan rakyat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan