WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS SELESAI RAKAM KENYATAAN LIMA INDIVIDU BERKAITAN PENULARAN VIDEO ZAYN RAYYAN

19/03/2025 03:44 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Polis selesai merekod keterangan lima individu bagi membantu siasatan berkaitan rakaman video membabitkan Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin yang tular menerusi laman sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Ja'afar berkata mereka ialah perakam video itu sendiri, suami dan rakannya, wanita yang memuat naik video berkenaan dan ibu kepada Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf.

"Berdasarkan siasatan, video berkenaan dimuat naik ke laman sosial sebagai tanda sokongan dan keadilan kepada Zayn Rayyan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 11 Mac lepas Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor memaklumkan Ismanira membuat satu laporan polis berhubung satu pautan video TikTok yang diterimanya melalui aplikasi WhatsApp.

Pautan video berdurasi kira-kira satu minit itu menunjukkan Ismanira sedang berjalan sambil memegang tangan kedua-dua anaknya iaitu Zayn Rayyan dan adiknya yang berusia enam tahun menuju ke kawasan parkir motosikal Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai, Selangor.

Mohd Hafiz berkata laporan itu dibuat berikutan Ismanira merasakan bahawa keselamatan beliau dan keluarganya berada dalam keadaan terancam.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan