WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENSTRUKTURAN SEMULA NSRC: PDRM CADANG 139 JAWATAN TETAP, BAKAL BEROPERASI 24 JAM

19/03/2025 06:28 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Sebanyak 139 perjawatan tetap dicadangkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperkasakan peranan serta fungsi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata perkara itu, antara langkah untuk memperkemas struktur NSRC, dengan usaha itu sedang giat dijalankan.

“Ia termasuk mewujudkan sejumlah perjawatan tetap bagi melancarkan penstrukturan semula NSRC yang bakal ditempatkan di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dengan jangkaan operasi tengah tahun ini.

“Melalui penstrukturan baharu kelak, PDRM akan mengetuai operasi NSRC dengan dikawal selia oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pusat berkenaan akan beroperasi 24 jam setiap hari, berbanding 12 jam sehari sekarang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ramli berkata NSRC diwujudkan sejak Okt 2022 dan berperanan sebagai pusat tindak balas pantas bagi kes penipuan dalam talian khususnya hal berkaitan sekatan dana dicuri, khidmat nasihat dan seumpamanya.

NSRC dikendalikan secara bersama antara Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), PDRM dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Peranan NSRC dilihat semakin signifikan dan selari dengan beberapa negara serantau yang turut mewujudkan pusat serupa seperti Anti Online Center (AOC) di Thailand dan Anti Scam Center di Singapura, katanya.

“Sehingga 31 Dis 2024, NSRC telah mengendalikan 161,863 panggilan daripada mangsa penipuan dalam talian serta panggilan daripada individu mahu mendapatkan informasi dan sebagainya.

“Sejumlah 72,523 akaun bank telah dikenal pasti terlibat dalam transaksi mencurigakan berkait penipuan melibatkan nilai keseluruhan RM50,875,415.26,” katanya.

Ramli berkata pihaknya sedang menambah baik peruntukan undang-undang berkaitan kesalahan merekrut orang menjadi pemegang keldai akaun dan bersubahat bagi kesalahan jenayah.

“Selain penambahbaikan peruntukan undang-undang itu, turut dicadangkan ialah mewujudkan beberapa seksyen baharu dalam undang-undang berkaitan, untuk disesuaikan dengan situasi semasa kerana ini antara elemen penting dalam pembanterasan jenayah.

“Usaha ini bukan baru, malah pada tahun lepas, kita berjaya meminda Kanun Keseksaan dengan memasukkan peruntukan Seksyen 424A, 424B, 424C dan 424D bagi mengatasi isu keldai akaun,” katanya.

Bagi Kanun Tatacara Jenayah, Ramli berkata ia melibatkan memasukkan peruntukan Seksyen 116D bagi memberi kuasa kepada pegawai polis untuk menyekat sesuatu urusan transaksi kewangan.

“Sekiranya diluluskan kelak, JSJK percaya peruntukan itu berupaya mengekang perlakuan jenayah dengan lebih berkesan, seterusnya mewujudkan kesedaran kepada masyarakat supaya tidak terbabit dalam jenayah komersial,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan