WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RUU PEMBAHARUAN SEMULA BANDAR JAMIN HAK PEMILIK, NILAI PAMPASAN LEBIH ADIL

19/03/2025 04:54 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) berpegang kepada prinsip utama iaitu setiap projek pembaharuan kediaman mesti dilaksanakan menerusi perundingan dengan pemilik bagi mendapatkan persetujuan mereka untuk menyertai projek tersebut.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa selepas persetujuan dicapai, pemilik akan menerima semula hartanah yang telah diperbaharui, selain pampasan, manfaat sara hidup serta insentif lain sepanjang tempoh permbinaan dan selepas projek disiapkan.

“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menegaskan bahawa pelaksanaan RUU PSB ini akan memastikan rumah yang telah diperbaharui diberikan kepada pemilik asal supaya mereka dapat kembali menghuni di atas tapak asal yang telah dibangunkan.

“Nilai pampasan hartanah yang akan diperolehi oleh pemilik pula ialah berdasarkan kepada nilai pasaran masa hadapan, sekali gus membantu mereka untuk memiliki semula rumah yang telah diperbaharui,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia, hari ini.

Tunku Nashrul berkata pendekatan itu berbeza daripada amalan semasa, yang menyaksikan pampasan diputuskan oleh perunding atau mahkamah adalah berdasarkan nilai semasa, menyebabkan ramai pemilik tidak mampu memiliki rumah baharu yang harganya jauh lebih tinggi daripada pampasan.

Beliau berkata selain pampasan yang jauh lebih tinggi berbanding kaedah semasa, RUU PSB juga akan memastikan pelbagai bentuk pampasan atau manfaat diberikan kepada pemilik.

Antaranya termasuk bayaran sewaan kediaman transit, bayaran ex-gratia renovasi hartanah sedia ada dan bayaran lain bagi membantu sara hidup pemilik sepanjang tempoh pembinaan, sekali gus memastikan apa jua pembangunan semula menitikberatkan prinsip keadilan sosial yang menjadi asas kepada gagasan MADANI.

“Ini bermakna tidak benar persepsi mengatakan undang-undang PSB ini akan menyebabkan orang Melayu dan Bumiputera hilang tempat di bandar atau undang-undang ini memberi keutamaan kepada pemaju.

“Sebaliknya PSB ini digubal untuk melindungi hak pemilik dengan memastikan pampasan yang adil dan jauh lebih tinggi berbanding sekarang untuk melindungi hak dan mengangkat martabat rakyat terutama orang Melayu di bandar, untuk memastikan miskin bandar terutama orang Melayu hidup dengan lebih bermaruah ketimbang dibiarkan hidup berhimpit selama puluhan tahun tanpa penyelesaian,” katanya.

Beliau menambah bahawa rang undang-undang itu juga adalah penyelesaian konkrit kepada konflik berpanjangan antara rakyat dan pemaju yang berlaku sejak sekian lama.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan