KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan reman sepasang suami isteri serta seorang pengarah syarikat yang disyaki mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu membabitkan pengeluaran wang syarikat kira-kira RM8.4 juta.
Sumber SPRM memaklumkan perintah reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Sabtu terhadap dua suspek lelaki, dikeluarkan Majistret Nabila Nizam di Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor pagi tadi, manakala seorang lagi suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Menurut sumber ketiga-tiga suspek yang terdiri daripada dua orang lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 dan 60-an itu ditahan antara jam 3 petang hingga 11 malam semalam, ketika hadir memberi keterangan di SPRM, Johor.
“Kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara bulan April hingga Oktober 2018.
“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek yang masing-masing merupakan pengarah dan konsultan syarikat, disyaki bersubahat mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu untuk mengeluarkan wang syarikat berjumlah kira-kira RM8.4 juta,” menurut sumber.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial