WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ISMAIL SABRI SELESAI BERI KETERANGAN LEBIH ENAM JAM

19/03/2025 06:59 PM

PUTRAJAYA, 19 Mac (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Beliau dilihat meninggalkan ibu pejabat SPRM pada 4.35 petang. Terdahulu beliau tiba di ibu pejabat SPRM pada 9.57 pagi dan proses merakam keterangan berlangsung lebih enam jam.

Ahli Parlimen Bera itu disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia semasa tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Isnin lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata beberapa fail baharu dibuka berhubung siasatan terhadap Ismail Sabri susulan maklumat dan hasil risikan terbaharu pihaknya dan terdapat banyak lagi perkara yang perlu diajukan kepada bekas perdana menteri itu.

Pada 3 Mac, Azam dilaporkan berkata Ismail Sabri ialah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram, susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram jongkong emas di dalam sebuah safe house, hasil serbuan SPRM.

Sementara itu, sumber SPRM mengesahkan proses merakam keterangan Ismail Sabri bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan beliau, akan disambung esok pagi.

“Proses rakam keterangan esok bersambung 10 pagi,” menurut sumber itu.

Sebelum ini, Ismail Sabri menyatakan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sehingga siasatan membabitkannya selesai.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan