WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PESARA RUGI HAMPIR RM400,000 AKIBAT PENIPUAN DALAM TALIAN

19/03/2025 08:23 PM

SIBU, 19 Mac (Bernama) -- Seorang pesara kerugian RM371,199 selepas terperdaya dengan tawaran pulangan lumayan daripada perniagaan dalam talian yang tidak wujud sejak bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata lelaki berusia lingkungan 60-an itu membuka akaun perniagaan dalam talian menerusi aplikasi Amazon dan TikTok setelah diperkenalkan oleh seorang individu melalui aplikasi WhatsApp pada 26 Feb lepas.

“Mangsa telah dimaklumkan oleh pihak khidmat pelanggan bahawa dengan menyertai perniagaan itu, dia akan memperoleh keuntungan lumayan iaitu 50 peratus bagi akaun Amazon dan akan dinaik taraf ke lima bintang, manakala 25 peratus bagi akaun TikTok,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tertarik dengan tawaran berkenaan, mangsa telah membuat pemindahan wang bagi tujuan memproses pesanan pelanggan.

Sebanyak 20 transaksi pemindahan wang telah dilakukan antara 11 hingga 17 Mac ke dalam lapan akaun bank tempatan yang berlainan, melibatkan jumlah keseluruhan RM371,199.

Beliau berkata selepas beroperasi dua minggu, mangsa mendapati dirinya tidak dapat memproses pesanan pelanggan kerana baki wang dalam kedua-dua akaun yang didaftarkan tidak mencukupi menyebabkan mangsa tidak dapat mengakses akaun terbabit.

Zulkipli berkata mangsa kemudian diarahkan membuat pemindahan sejumlah wang ke dalam e-dompet akaun berkenaan bagi mengaktifkan semula akaunnya.

“Mangsa menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan dan membuat laporan polis semalam,” katanya menambah kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan