WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DEWAN NEGARA LULUS PINDAAN AKTA BERNAMA

19/03/2025 06:30 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) BERNAMA (Pindaan) 2024, antaranya bertujuan menjadikan industri media lebih inklusif.

RUU yang dibentangkan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan lapan Ahli Dewan Negara.

Ketika menggulung perbahasan RUU itu, Teo berkata objektif utama pindaan adalah untuk menggantikan istilah “tuan punya surat khabar” kepada “organisasi media” yang bertujuan merealisasikan hasrat kerajaan untuk menyatukan kesemua media dalam satu definisi khusus iaitu organisasi media.

“Malah menerusi tema baharu ini kerajaan berhasrat unuk menyatukan kesemua media agar dapat sama-sama membantu kerajaan dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat,” katanya.

Pindaan terhadap Akta BERNAMA 1967 (Akta 780) itu adalah kali pertama dibuat sejak akta tersebut digubal pada 1967.

RUU itu meminda Seksyen 2 Akta 780 bagi memasukkan satu tafsiran baharu “organisasi media” yang merangkumi bukan sahaja media cetak (surat khabar dan apa-apa medium percetakan) tetapi turut meliputi komunikasi massa iaitu media elektronik dan digital, seiring dengan ledakan teknologi dan digital masa kini.

Teo berkata melalui pindaan RUU itu, pemilik organisasi media daripada mana-mana platform turut layak dipertimbangkan untuk menjadi Ahi Lembaga Pengelola Bernama, sekiranya mereka merupakan pelanggan kepada agensi berita nasional itu.

Beliau menjelaskan sebelum ini Ahli Lembaga Pengelola Bernama hanya melibatkan tuan punya surat khabar sahaja.

“Saya beri contoh seperti organisasi media Oriental Daily, Sin Chew Daily dan China Press pernah mencetak surat khabar dan kini mereka sudah berhenti mencetak surat khabar dan beralih kepada media digital.

“Selain itu, Malaysiakini kalau ikut definisi sebelum pindaan, walaupun mereka adalah pelanggan Bernama, Malaysiakini juga tidak layak duduk dalam Ahli Lembaga Pengelola Bernama.

“Bagi media bahasa Tamil, sekarang ada dalam talian Vanakkam Malaysia yang mempunyai pengikut ramai di paltform dalam talian, tetapi kalau pindaan ini tidak dibawa ke dewan mulia ini walaupun mereka merupakan pelanggan Bernama, mereka tidak layak duduk dalam Ahli Lembaga Pengelola Bernama dan sebab itu kita bawa RUU ini untuk diluluskan,” katanya.

Dalam penggulungan itu, Teo turut mengakui bahawa RUU itu bukan merupakan silver bullet untuk mengatasi perkara berbangkit termasuk isu berita palsu, sebaliknya pelbagai usaha dilakukan kerajaan termasuk Kementerian Komunikasi untuk mengekang perkara tersebut.

Beliau berkata bagi membendung berita palsu, kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkenalkan Chatbot kecerdasan buatan (AI) AIFA atau Artificial Intelligence Fact-check Assistant pada 28 Jan lepas, yang berperanan membantu rakyat menyemak informasi dan maklumat sahih dengan cepat dan mudah.

“Sejak ditubuhkan sehingga 23 Feb, Chatbot AIFA telah memproses 57,782 mesej dengan purata 2,140 mesej setiap hari dan selain itu di bawah Bernama juga ada portal MyCheck Malaysia serta di bawah MCMC ada portal Sebenarnya.my yang merupakan portal untuk kita buat fact checking.

“Memang kita akui berita palsu ini cabarannya sangat rumit kepada kerajaan, tetapi ada pelbagai usaha telah dimulakan dan kami mengalu-alukan cadangan bagaimana kita boleh tambah baik untuk menangani isu berita palsu,” katanya.

Mengenai usaha meningkatkan prestasi Bernama di peringkat antarabangsa, Teo berkata Bernama telah menjalinkan kerjasama dengan agensi antarabangsa seperti Anadolu, China Media Group dan rangkaian Pertubuhan Agensi-Agensi Berita Asia Pasifik (OANA) yang membantu Bernama melihat amalan industri terkini global bagi memasitkan Bernama kekal relevan dan berdaya saing.

Malah, beliau berkata Bernama telah lama beroperasi secara global apabila membuka biro koresponden di Jakarta, Indonesia; Manila, Filipina; Bangkok, Thailand; dan Singapura pada 1970-an.

Selain itu, Bernama turut menganggotai beberapa pertubuhan agensi berita antarabangsa seperti Pertubuhan Agensi-Agensi Berita Asia Pasifik (OANA) yang mempunyai 41 agensi berita daripada 33 negara. 

“Dalam pada itu, Bernama turut memiliki slot khas berkaitan berita khusus untuk kaum Cina dan Tamil, ada Meja Berita Mandrin serta menyiarkan Mandarin News serta Tamil News di Bernama TV.

“Memang kita nak pastikan Bernama boleh sebar luaskan maklumat yang tepat kepada semua lapisan masyarakat di Malaysia,” katanya.

Akta 780 digubal bertujuan menubuhkan dan memperbadankan Bernama khusus sebagai agensi perkhidmatan berita nasional bagi menyebarluaskan berita ke seluruh negara.

Bernama memainkan peranan penting dalam memastikan penyampaian maklumat dan pelaporan berita mengenai dasar-dasar kerajaan dilaksanakan dengan efektif, di samping menjadi sumber rujukan utama organisasi media tempatan dan antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan