WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PINDAAN AKTA FINAS DILULUS SECARA DASAR, DIGUBAL SEIRING PERUBAHAN ZAMAN - FAHMI

19/03/2025 07:07 PM

PUTRAJAYA, 19 Mac (Bernama) -- Jemaah Menteri hari ini secara dasar telah meluluskan pindaan kepada Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) 1981, mengambil kira perubahan mendadak dalam industri perfileman negara.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI, berkata Finas selepas ini akan meneruskan proses libat urus dengan pelbagai pihak selain berusaha menggubal undang-undang tersebut.

"Diharapkan penggubalan dan seterusnya bila ia dibawa ke Parlimen mungkin dalam mesyuarat pada Jun ataupun selewat-lewatnya hujung tahun ini, kita akan dapat memperkemas akta dan ia akan lebih seiring dengan zaman di mana penonton filem tidak hanya pergi ke pawagam tetapi juga menonton di peranti mereka," katanya dalam sidang media mingguan di sini hari ini.

Ditanya sama ada akta itu akan menyebabkan penapisan kepada platform penstriman dalam talian, Fahmi berkata tidak kerana proses tersebut adalah lebih kepada pembuatan filem.

"Sejujurnya, perkataan filem itu sendiri adalah bersifat anakronistik. Hari ini, tidak ada siapa yang membuat  filem, yang merakam atau membuat penggambaran menggunakan filem seluloid 35 milimeter. Jadi aspek-aspek membawa akta tersebut masuk ke zaman di mana proses pembuatan filem itu telah berubah dengan mendadak. 

"Ia juga untuk memurnikan beberapa aspek tadbir urus bagi Finas memandangkan Filem Negara Malaysia telah digabungkan dengan Finas suatu ketika dulu.

"Jadi aspek sumber manusia ini perlu dimurnikan dalam Akta Finas selain memberi beberapa fungsi khusus kepada Finas sebagai contoh, isu pengarkiban bahan-bahan perfileman," katanya.

Fahmi berkata satu lagi aspek berkait dengan peraturan-peraturan yang akan diwujudkan sekali dengan Akta Finas ialah kebajikan bagi mereka yang terlibat dalam proses penggambaran bagi memastikan kebajikan pelakon dan kru tidak diabaikan.

"Kementerian Komunikasi dalam tempoh dua tahun lalu banyak memberikan fokus kepada aspek keselamatan sosial bagi mereka yang terlibat dalam bidang media dengan membantu mereka yang bekerja secara sambilan ataupun stringers mendapat caruman Perkeso.

“Kita juga lakukan perkara yang sama untuk mereka yang terlibat dalam bidang perfileman kerana kedua-dua bidang ini merupakan part-time all the time," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan