Harimau Malaya atau nama saintifiknya Panthera tigris jacksoni, ialah simbol kekuatan dan keberanian yang menghiasi Jata Malaysia serta tanda kebesaran diraja selain diangkat sebagai ikon oleh beberapa entiti kerajaan dan korporat negara ini.
Haiwan ini dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) namun di sebalik perlindungan itu, harimau Malaya tersenarai sebagai Sangat Terancam dalam Senarai Merah Spesies Terancam Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN), yang bermaksud spesies ini berisiko tinggi untuk pupus di habitat liar.
Dilaporkan kini terdapat kurang daripada 150 ekor harimau Malaya di hutan negara ini. Ironinya, haiwan yang sepatutnya berkembang biak di belantara, ditemukan mati di tepi jalan raya akibat dilanggar kenderaan atau “roadkill”.
Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, dalam tempoh 2023 hingga 2024, enam kes kematian harimau Malaya akibat dilanggar kenderaan dilaporkan.
Lebih menyedihkan, ada pihak dipercayai mencuri bahagian tubuh harimau yang mati itu. Dalam kejadian 9 Nov tahun lepas di Jalan Raya Timur Barat, Gerik, Perak, bangkai seekor harimau Malaya betina ditemukan antaranya tanpa taring, kuku dan kulit di tepi jalan itu, sementara pada 10 Feb lalu, nasib sama menimpa seekor harimau kumbang jantan yang mati dilanggar kenderaan berhampiran Kampung Orang Asli Tering di Jalan Tampin-Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
"Apabila 'roadkill' berlaku, ada yang mengambil kesempatan untuk mencuri bahagian tubuh harimau terbabit. Mereka mencuri setakat mana yang mampu, dan antara mudah diambil serta kerap didapati hilang ialah misai harimau.
"Selalunya, apabila terdapat laporan 'roadkill' melibatkan harimau dan bangkainya dihantar ke Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia), selalunya misailah yang didapati dicabut ataupun taringnya dipotong, sama ada untuk tujuan mistik ataupun ubat tradisional.
"Ramai yang tidak tahu sebenarnya tindakan mencuri bahagian tubuh harimau, iaitu haiwan yang dilindungi sepenuhnya, merupakan satu kesalahan serius di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010," kata Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Wildlife Crime Bureau (WCB)/Perisikan Siasatan Khas) SAC Muhamad Azlin Sadari kepada Bernama.
pic-2
Katanya, individu yang didapati memiliki atau memperdagangkan bahagian tubuh harimau Malaya seperti taring, misai, gigi, tulang, kulit atau darah akan dikenakan tindakan tegas bagi memastikan spesies terancam itu tidak terus dieksploitasi.
“Sabit kesalahan, pesalah boleh didenda maksimum RM150,000 bagi setiap bahagian (tubuh) dan penjara hingga 15 tahun. Hukuman keras ini ialah langkah pencegahan terhadap jenayah berkaitan hidupan liar yang dilindungi,” tegasnya.
PERANAN WCB LINDUNGI HARIMAU MALAYA, KHAZANAH ALAM
Muhamad Azlin berkata kewujudan WCB yang ditubuhkan pada 2022, pada mulanya sebagai inisiatif kerajaan bagi menangani isu populasi harimau Malaya di hutan negara yang semakin mengecil akibat kehilangan habitat dan sumber makanan ekoran perubahan guna tanah, pemburuan serta penyeludupan haram.
"Pada tahun sama, Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani pernah menyebut bahawa WCB tidak boleh hanya menjaga populasi harimau dengan membanteras aktiviti pemburuan serta penyeludupan haram, tetapi juga menambah bilangan harimau, iaitu kita kena jaga rantaian makanan serta habitatnya.
"Maka tugas kami turut merangkumi pembanterasan segala aktiviti yang menyebabkan habitat harimau serta makanannya seperti rusa dan babi hutan terjejas akibat pencerobohan hutan simpan, penebangan dan perlombongan haram serta aktiviti manusia yang menjejaskan ketenteraman hidupan liar.
"Selain itu, WCB turut berperanan mengekang aktiviti penyeludupan hidupan liar di negara ini, terutamanya di sempadan negara dan meningkatkan tadbir urus serta tatakelola berkesan dalam melaksanakan konservasi biodiversiti negara," katanya.
pic-3
Beliau berkata walaupun saiz populasi harimau di negara ini agak kecil berbanding dengan negara-negara lain, kehidupan harimau Malaya yang hanya ditemukan di Semenanjung Malaysia, adalah lebih berkualiti kerana kawasan hutan simpan yang luas, sekali gus memudahkan pergerakan haiwan itu di habitat semula jadinya.
"Berbanding dengan harimau yang hidup dalam kurungan sepertimana yang ada di sesetengah negara, harimau Malaya lebih 'wild' dan berkualiti kerana mampu memburu makanan, hidup dalam ekosistem semula jadi serta dapat menghasilkan genetik yang baik hasil daripada interaksi mereka dengan harimau-harimau lain di dalam hutan.
"Kerana itulah setiap bahagian tubuh harimau, dari kulit hingga ke sekecil-kecil misai dan taringnya merupakan khazanah yang tidak ternilai, mendorong pemburuan terhadap spesies terancam ini untuk diseludup ke luar negara bagi pelbagai tujuan," katanya.
KERJASAMA PELBAGAI PIHAK
Muhamad Azlin berkata pihaknya sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan dalam pengoperasian bersepadu dan perkongsian maklumat risikan yang melibatkan hidupan liar, antaranya Perhilitan, Jabatan Hidupan Liar Sabah, Perbadanan Perhutanan Sarawak, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Jabatan Perhutanan setiap negeri termasuk Sabah dan Sarawak
"Selain itu, dari segi pembanterasan aktiviti penyeludupan hidupan liar secara haram terutamanya organ-organ harimau ke luar negara, kami turut bekerjasama dengan Interpol dan ASEANpol serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain seperti Pelindung Alam Malaysia, Wildlife Conservation Society (WCS), Traffic Southeast Asia dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).
"Menerusi kerjasama pelbagai pihak dalam Op Bersepadu Khazanah, kami berjaya menumpaskan 147 kes melibatkan hidupan liar dengan 184 tangkapan dan nilai rampasan berjumlah RM16,063,320.20 pada 2024," katanya.
Katanya, dalam usaha memelihara populasi harimau Malaya dan hidupan liar lain yang semakin terancam, pihaknya juga membatalkan 6,683 lesen pemilikan senjata api bagi tujuan memburu dalam tempoh 2020 hingga Februari lepas.
"Bagi membanteras kegiatan pemburuan hidupan liar rentas sempadan, kami sering mengadakan mesyuarat bilateral dengan negara serantau terutamanya ASEAN, bagi tujuan perkongsian maklumat berkenaan aktiviti pemburuan selain kerjasama memerangi aktiviti pencerobohan masuk pemburu haram ke dalam hutan di Malaysia.
"Jika dalam Perhilitan mereka mempunyai 'Wildlife Crime Unit' bagi membanteras sebarang kegiatan jenayah berkait hidupan liar di Semenanjung (Malaysia), kami di WCB, PDRM pula bertanggungjawab menangani jenayah hidupan liar yang melibatkan sempadan negara serta kegiatan pemburuan haram membabitkan pencerobohan dari negara jiran," jelasnya.
PENGURUSAN HASIL RAMPASAN
Sementara itu, Pengarah Penguatkuasaan Perhilitan Noor Alif Wira Osman berkata pihaknya menerusi pasukan “flying squad”, iaitu Wildlife Crime Unit, mengukuhkan aktiviti perisikan dan penguatkuasaan penyeludupan hidupan liar dengan penggunaan teknologi terkini yang bertindak secara responsif terhadap maklumat jenayah hidupan liar yang telah dianalisis.
"United Nations Environment Programme dan Interpol telah mengklasifikasikan pemerdagangan haram hidupan liar sebagai jenayah keempat terbesar di dunia selepas penyeludupan dadah, barangan tiruan dan penyeludupan manusia.
"Sepanjang 2023 hingga 2024, sebanyak 56 bahagian harimau belang, iaitu 32 unit kuku, satu taring, sepasang misai, seunit penis, empat unit gigi geraham dan 17 bahagian daging telah dirampas, manakala sebanyak 276 bahagian harimau kumbang telah dirampas dengan 218 unit kuku, 39 taring, lima gigi geraham dan 14 bahagian daging.
"Bagi harimau dahan pula, sebanyak 20 bahagian telah dirampas dengan 18 unit kuku dan dua taring hasil kerjasama pelbagai agensi," katanya.
pic-4
Noor Alif berkata lazimnya, Perhilitan akan menguruskan hasil rampasan dan sindiket kes-kes penyeludupan hidupan liar di bawah Akta 716 dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) berdasarkan garis panduan Konvensyen tentang Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITIES).
"Bagi kaedah pelupusan barang kes seperti spesimen hidup tempatan, contohnya harimau, hidupan liar rampasan yang dalam keadaan sihat akan dilepaskan semula ke habitat asal atau kawasan perlindungan bersesuaian, manakala bagi hidupan liar sakit akan dirawat terlebih dahulu dan menjalani proses rehabilitasi sebelum dilepaskan semula ke habitat asal.
"Bagi bahagian atau terbitan hidupan liar seperti gading gajah, organ harimau dan sisik tenggiling, ia akan menjadi 'Government Held Stockpiles' di bawah pengurusan kami, bagi tujuan penyelidikan saintifik, pendidikan konservasi, penguatkuasaan dan pengecaman spesies," katanya.
LAPORKAN KEPADA PENGUAT KUASA
Sementara itu, Muhamad Azlin berkata peranan orang awam dalam memberi maklum balas dan melaporkan sebarang bentuk jenayah hidupan liar adalah penting untuk pihaknya membanteras kegiatan penyeludupan haram, penebangan hutan dan perlombongan haram di hutan bagi melindungi habitat hidupan liar.
"Kami turut mengambil inisiatif menyampaikan kesedaran kepada orang awam menerusi media sosial TikTok 'Wildlife Crime Bureau', selain menyediakan platform kepada mereka untuk menyalurkan maklumat ataupun laporan jika mereka mengesan sebarang aktiviti jenayah hidupan liar," katanya.
Senada, Noor Alif berkata semua pihak, terutamanya orang awam, perlu memainkan peranan bersama-sama dengan pihak penguatkuasaan untuk melaporkan sebarang jenayah hidupan liar, terutamanya bagi spesies terlindung dan terancam.
"Mereka boleh melaporkan sebarang jenayah berkenaan hidupan liar ke Talian Hotline Perhilitan di 1800-88-5151 atau e-aduan melalui laman web www.wildlife.gov.my," katanya.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial