KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) mencatatkan lonjakan lebih tiga kali ganda dalam keuntungan bersihnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2024 (TK2024) kepada RM117.2 juta berbanding RM31.7 juta pada tahun sebelumnya.
Dalam satu kenyataan hari ini, PHB berkata pertumbuhan yang tinggi itu mencerminkan kejayaan inisiatif strategik PHB yang dilaksanakan pada TK2024, sekali gus meletakkan kumpulan berkenaan pada landasan yang tepat untuk pertumbuhan jangka panjang yang mampan.
''Prestasi kewangan yang kukuh ini didorong oleh hasil tertinggi sejak penubuhannya iaitu sebanyak RM464.4 juta, peningkatan sebanyak 17 peratus daripada RM396.0 juta pada TK2023, disokong oleh pendapatan sewa yang lebih tinggi, kadar penghunian yang lebih baik, serta sumbangan daripada aset-aset utama yang baru disiapkan.
''Pendapatan hartanah bersih (NPI) meningkat sebanyak 25 peratus kepada RM275.2 juta, mencerminkan pengurusan aset yang berkesan dan disiplin dalam kawalan kos ke atas portfolio aset hartanah yang diurus PHB," menurut kenyataan berkenaan.
Syarikat pelaburan hartanah itu berkata pertumbuhan hasilnya disokong oleh pasaran runcit yang lebih kukuh, peningkatan pendapatan berkaitan hartanah, dan siapnya dua pembangunan utama.
''Mayang Mall di Kuala Terengganu dan Gudang Maersk LF Logistics di Shah Alam, masing-masing menyumbang kepada peningkatan dalam pendapatan sewa, dengan Mayang Mall mencapai kadar penghunian melebihi 80 peratus setakat 31 Disember, 2024," katanya.
PHB berkata kos pinjaman menurun sebanyak 13 peratus kepada RM38.4 juta berikutan penerbitan sukuk bernilai RM1.5 bilion oleh PHB pada September 2024.
''Permintaan pasaran yang memberangsangkan dengan lebihan langganan sebanyak 2.2 kali telah mengurangkan kos pembiayaan PHB, dan anggaran penjimatan sebanyak RM14 juta akan dimanfaatkan sepenuhnya pada TK2025," katanya.
Menurut PHB, penyusunan semula anak syarikat utamanya termasuk PHB Facility Management Berhad dan PHB Asset Management Berhad, dijangka memberikan penjimatan kos tahunan sebanyak RM4.5 juta apabila dilaksanakan sepenuhnya pada TK2025.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB Mohamad Damshal Awang Damit berkata pada masa depan, rancangan perniagaan tiga tahun syarikat akan memberi tumpuan kepada pertumbuhan portfolio jangka panjang sambil memastikan kekal tangkas dalam pasaran yang dinamik.
''PHB kekal komited terhadap strategi pelaburan yang berhemat dan kekal peka terhadap risiko bagi memastikan pertumbuhan yang mampan sambil melindungi nilai aset.
"Kami kini memperluaskan pelaburan ke dalam sektor berpotensi tinggi seperti penjagaan kesihatan, perindustrian, dan pendidikan, selain mengukuhkan kedudukan kami di pasaran baharu termasuk Pantai Timur, Sabah, dan Sarawak serta penglibatan secara aktif dalam pembangunan hartanah, terutamanya di Tanah Rizab Melayu,'' katanya.
Dengan permintaan yang semakin meningkat untuk ruang pejabat yang mempunyai persijilan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), PHB mengukuhkan lagi komitmennya terhadap kemampanan.
Sebanyak enam bangunannya kini telah mempunyai persijilan hijau di bawah Indeks Bangunan Hijau (GBI) atau Kepimpinan dalam Reka Bentuk Tenaga dan Alam Sekitar (LEED), dengan sasaran untuk mencapai 50 peratus persijilan hijau meliputi seluruh portfolio menjelang 2030.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial