PENAMPANG, 20 Mac (Bernama) -- Sebanyak 28 sekolah rendah dan menengah di sini menerima bantuan berjumlah RM230,000 daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR) hari ini sebagai usaha menggerakkan pembangunan pendidikan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata 24 sekolah rendah masing-masing menerima bantuan RM5,000 manakala empat sekolah menengah menerima RM10,000.
Beliau berkata daripada jumlah itu juga, lima sekolah rendah dan dua sekolah menengah yang melaksanakan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) masing-masing menerima bantuan tambahan RM10,000.
“Pemberian bantuan ini merupakan komitmen saya serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) khususnya Bank Rakyat dan Yayasan Bank Rakyat menggerakkan program pembangunan pendidikan di sini,” katanya dalam kenyataan selepas menyampaikan bantuan itu di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi YBR Datuk Philip Lasimbang dan Ketua Pegawai Eksekutif YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani. Bank Rakyat adalah agensi di bawah KUSKOP.
Ewon berkata pemberian bantuan itu dimulakan sejak 2023 dan dilaksanakan setiap tahun sehingga kini di bawah Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara yang merupakan perspektif daripada KUSKOP.
“Saya berharap bantuan ini dapat membantu pihak sekolah, guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam melengkapkan usaha pendekatan keseluruhan kerajaan terhadap pembangunan sektor pendidikan negara,” katanya.
Sebagai Ahli Parlimen Penampang, beliau turut meluluskan peruntukan RM50,000 di bawah peruntukan Ahli Parlimen kepada Sekolah Kebangsaan St Theresa Inobong bagi membantu keperluan kelengkapan di sekolah seperti yang dimohon pihak PIBG.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial