WILAYAH - TENGAH > BERITA

CBP PERKUKUH KEDUDUKAN MODAL BAGI SOKONG PENGEMBANGAN PERNIAGAAN

20/03/2025 06:53 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Co-opbank Pertama (CBP) akan terus memantau kedudukan modalnya selain memastikan ia kekal pada tahap optimum bagi menyokong pengembangan perniagaan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata sehingga 31 Dis, 2024, dana pemegang saham CBP melebihi RM1.6 bilion dan ia cukup untuk menyokong pertumbuhan perniagaannya.

“Pembukaan semula saham keahlian CBP pada Jun 2024 membantu meningkatkan kedudukan nisbah modal berwajaran risiko kami ke tahap yang lebih baik bagi menyokong pertumbuhan perniagaan sambil memastikan pematuhan nisbah berhemat yang ditetapkan oleh pengawal selia kami iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Bank Negara Malaysia.

"Selain itu, CBP merancang untuk menerbitkan sukuk sulung pada tahun ini. Ia akan menjadi program RM5 bilion berdasarkan konsep Wakalah Bi Al-Istithmar yang akan diterbitkan secara berperingkat mengikut keperluan perniagaan dan keadaan pasaran," katanya.

Beliau berkata terbitan pertama dijangka antara RM500 juta hingga RM1 bilion, bergantung pada keadaan pasaran, selera pelabur dan kedudukan mudah tunai CBP.

Selain itu, Khairil Anuar berkata bank itu akan terus mempelbagaikan asas pembiayaannya selain mengekalkan nisbah pembiayaan yang stabil dan penting untuk strategi pengurusan aset serta liabilitinya.

Beliau berkata CBP juga sedang dalam proses penyepaduan dengan platform pembayaran runcit masa nyata (RPP) untuk membolehkan pelanggan menggunakan DuitNow Transfer serta DuitNow QR pada aplikasi mudah alih HELOCBP dan HELOBiz mereka.

Beliau berkata inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan CBP untuk meningkatkan perkhidmatan perbankan dalam talian dan masa nyata mereka.

"Kami menyasarkan pelaksanaannya pada suku kedua 2025 yang menandakan pencapaian penting dalam kemajuan perkhidmatan perbankan digital kami untuk pelanggan," katanya.

Dalam perkembangan lain, bank itu melaporkan keuntungan sebanyak RM124.19 juta bagi tahun kewangan 2024, meningkat sebanyak 3.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan