KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Tarikh aksi final Piala Malaysia 2024-2025 antara Johor Darul Ta'zim dan Pahang FC ditukar kepada 26 April di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Perkara itu diumumkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang turut memaklumkan aksi final edisi ke-98 yang sepatutnya berlangsung pada 12 April itu ditukar selepas pertimbangan semula, susulan MFL menerima permohonan rasmi daripada Sri Pahang FC serta persetujuan bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).
"Daripada maklum balas yang diterima daripada pasukan finalis itu mendapati, kebanyakan penyokong mengharapkan agar tarikh Perlawanan Akhir Unifi Piala Malaysia dapat dianjak ke tarikh baharu untuk membolehkan mereka merancang perjalanan ke SNBJ.
"Ini berikutan kekangan penyokong kedua-dua pasukan untuk mendapatkan tiket memandangkan tarikh asal yang masih di tempoh awal perayaan Hari Raya Aidilfitri," menurut MFL dalam kenyataan hari ini.
MFL turut berharap tarikh baharu itu mampu memudahkan proses penjualan tiket oleh finalis selain ia dapat disusun dengan lebih baik untuk memastikan kehadiran penyokong JDT dan Sri Pahang FC.
Menurut MFL, kesemua tiket fizikal dan e-tiket yang telah dan akan dijual tertera tarikh asal perlawanan akhir iaitu pada 12 April dan boleh digunakan penyokong untuk memasuki stadium.
“Susulan penetapan tarikh baharu itu, MFL juga akan melakukan pindaan jadual baki perlawanan Liga Super musim ini yang akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial