KUALA LIPIS, 20 Mac (Bernama) -- Kerajaan Pahang memperuntukkan lebih RM1.76 juta bagi memberi sumbangan kepada guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), imam, bilal, siak serta guru takmir di seluruh negeri ini.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata sumbangan itu antara lain bertujuan meringankan beban perbelanjaan golongan berkenaan menjelang Aidilfitri.
Beliau berkata kerajaan Pahang tahun ini memberikan sumbangan RM300 seorang kepada 2,650 guru KAFA yang melibatkan peruntukan RM795,000.
"Bagi mengenang jasa penyelia KAFA lantikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang bertugas di Pahang, kita memberikan RM500 seorang kepada 39 penyelia KAFA melibatkan peruntukan RM19,500," katanya.
Wan Rosdy berkata berkata kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) peringkat Pahang 2024 dan Penyerahan Sumbangan Kerajaan Pahang Kepada Petugas Agama di Pahang di Sekolah Menengah Agama (SMA) Padang Tengku di sini hari ini.
Beliau berkata sebanyak RM300 diberikan kepada setiap seorang melibatkan 1,187 imam dan 525 guru takmir manakala RM200 kepada 1,087 bilal dan 1,081 siak.
Menerusi sumbangan itu, katanya diharap guru KAFA, guru takmir, imam, bilal dan siak terus komited bekerja bagi meningkatkan syiar Islam di negeri ini.
Dalam pada itu, Wan Rosdy mengucapkan tahniah kepada semua pihak termasuk Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), pentadbir sekolah, guru dan pelajar KAFA atas keputusan UPKK yang membanggakan.
Beliau berkata sebanyak 15,945 orang murid telah menduduki UPKK pada tahun lepas dengan 93.81 peratus lulus, iaitu peningkatan sebanyak 2.81 peratus berbanding 2023.
"Begitu juga bilangan calon yang mendapat 9A, sebanyak 1,636 orang mewakili 10.37 peratus daripada bilangan keseluruhan calon, manakala calon mendapat 8A pula sebanyak 1,453 orang atau 9.21 peratus daripada bilangan keseluruhan calon," katanya.
Terdahulu Wan Rosdy turut mengumumkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) telah memperuntukkan RM606,200 bagi bantuan Aidilfitri kepada tujuh rancangan sosial yang memanfaatkan 866 peserta.
"Setiap peserta akan menerima bantuan berjumlah RM700 dan daripada peruntukan itu, sebanyak RM271,600 diperuntukkan untuk peserta rancangan sosial di daerah Lipis sahaja," katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) bagi 2025 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial