WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ORANG RAMAI DIAJAK SERTAI HIMPUNAN SOLIDARITI RAKYAT PALESTIN 28 MAC INI

21/03/2025 03:18 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Orang ramai diajak menyertai himpunan solidariti untuk rakyat Palestin di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat pada 28 Mac ini bagi menyatakan bantahan atas serangan udara Israel di Semenanjung Gaza sejak Selasa lepas.

Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu berkata mereka yang ingin menyertai himpunan berkenaan boleh berkumpul di Masjid Tabung Haji selepas solat Jumaat sebelum bergerak ke Kedutaan Amerika Syarikat di sini.

“Biar dunia tahu, rakyat Malaysia tidak duduk diam!

“Kita bukan sekadar mengecam Zionis Israel. Kita juga nak nyatakan kekecewaan dan marah kepada negara-negara Arab yang membiarkan saudara sesama Islam kita di Palestin terus ditindas,” kata beliau yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerusi kenyataan di laman Facebook. 

Tentera Israel melancarkan serangan udara mengejut ke atas Semenanjung Gaza pada Selasa, menghancurkan gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tahanan yang berkuat kuasa pada Januari.  

Hampir 50,000 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakan wanita dan kanak-kanak manakala lebih 112,000 yang lain cedera dalam kempen ketenteraan Israel di Gaza sejak Oktober 2023.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan