WILAYAH - UTARA > BERITA

FERI PERCUMA PADA 29-30 MAC SEMPENA AIDILFITRI

21/03/2025 04:02 PM

GEORGE TOWN, 21 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) mengumumkan perkhidmatan feri percuma kepada semua warganegara Malaysia pada 29 dan 30 Mac ini, bersempena Aidilfitri.

Pengerusi SPPP Datuk Yeoh Soon Hin berkata tambang percuma itu melibatkan perjalanan kedua-dua arah dari Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) ke Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) dan sebaliknya.

“SPPP dan PPSB ingin menyemarakkan semangat perpaduan dan kegembiraan Aidilfitri dengan menawarkan pengalaman menaiki feri secara percuma. 

“Inisiatif ini merupakan manifestasi komitmen berterusan SPPP dan PPSB dalam memudahkan perjalanan rakyat Malaysia, terutamanya pada musim perayaan. Ia bukan sahaja bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang tetapi juga menggalakkan penggunaan pengangkutan awam yang lebih lestari dan efisien,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai untuk merancang perjalanan lebih awal dan merujuk jadual feri yang terkini melalui laman web serta media sosial rasmi SPPP dan PPSB.

Yeoh berkata statistik menunjukkan lebih 27,801 penumpang pejalan kaki dan 5,740 kenderaan dua roda telah menggunakan perkhidmatan feri di kedua-dua hala pada Aidilfitri tahun lepas, sekali gus membuktikan perkhidmatan feri adalah mod pengangkutan pilihan rakyat Malaysia. 

Secara keseluruhan beliau berkata lebih 2.1 juta pejalan kaki direkodkan telah menggunakan perkhidmatan feri sejak Januari hingga Disember tahun lepas manakala 747,785 kenderaan dua roda bagi tempoh sama.

“Dengan adanya perkhidmatan feri percuma ini, diharap dapat mengurangkan beban kewangan rakyat dan memberikan peluang untuk merayakan Aidilfitri dengan lebih ceria dan penuh makna.  SPPP dan PPSB sentiasa komited dalam mengambil pelbagai langkah untuk memastikan perkhidmatan feri ini berjalan lancar,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan