WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JUMLAH MANGSA BANJIR MENURUN DI JOHOR DAN SABAH, SARAWAK KEKAL

22/03/2025 07:25 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor dan Sabah mencatatkan penurunan setakat jam 4 petang ini, manakala di Sarawak, jumlah mangsa kekal tidak berubah.

Di JOHOR, situasi banjir menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah mangsa menurun kepada 8,040 orang sehingga 4 petang berbanding 13,089 orang yang direkodkan pada pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan bahawa kesemua mangsa daripada 2,485 keluarga kini berlindung di 52 PPS yang beroperasi di lima daerah terjejas.

"Daerah Kulai telah pulih sepenuhnya dan semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing setelah air banjir surut dan kawasan didapati selamat.

"Selain itu, Johor Bahru mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 4,318 orang, diikuti Kluang (1,793), Pontian (1,551), Batu Pahat (270), dan Kota Tinggi (108 orang)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir menurun kepada 209 orang daripada 70 keluarga berbanding 379 orang daripada 124 keluarga yang ditempatkan di empat PPS setakat petang ini.

Sementara itu, PPS Masjid Nur Iman Kampung Sungai Memanjang, PPS Kampung Balaban Jaya dan PPS Kampung Sungai Nangka di daerah Sandakan telah ditutup pada pukul 3 petang.

Bagaimanapun, jumlah mangsa di Beaufort menunjukkan peningkatan, dan proses pemindahan ke PPS sedang dijalankan.

Di SARAWAK, JBPN Sarawak melaporkan jumlah mangsa banjir kekal seramai 969 orang setakat 4 petang ini.

Di Bahagian Sibu, mangsa banjir telah ditempatkan di tiga PPS iaitu PPS Dewan Serbaguna Selangau, PPS Dewan Kompleks Sukan Kanowit, dan PPS Dewan Komuniti Sibu Jaya.

Sementara itu, di Bahagian Kapit, mangsa ditempatkan di PPS Balai Raya Song, PPS Asrama Belia Kapit, dan PPS Dewan Suarah Kapit.

Sebagai langkah proaktif menghadapi kemungkinan pertambahan jumlah mangsa, PPS Dewan Sri Baleh telah dibuka, namun setakat ini tiada mangsa yang ditempatkan di pusat tersebut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan