WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JAWATANKUASA RTG LEBIH KECIL, UMUM MINGGU HADAPAN - HANNAH

23/03/2025 09:10 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Senarai baharu Jawatankuasa Program Road to Gold (RTG) bakal diumumkan minggu hadapan dengan struktur yang lebih kecil, namun tetap mengekalkan kesinambungan dan kepakaran bagi memastikan persiapan atlet negara menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) berjalan lancar.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, berkata mesyuarat pertama jawatankuasa baharu itu dijadualkan selepas Aidilfitri bagi memuktamadkan senarai atlet yang akan menerima fasiliti dan sokongan tambahan dalam program RTG.

“Akan ada nama baharu dan juga yang lama, tetapi yang penting adalah kesinambungan serta kepakaran dalam membangunkan atlet elit kita. Saya tak rasa banyak perubahan, tetapi kita nantikan.

“Jawatankuasa ini juga akan berskala lebih kecil,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Parlimen Segambut di sini hari ini.

Hannah bagaimanapun menegaskan pembaharuan kali ini tidak membawa kejutan besar, sekali gus meyakinkan semua pihak agar tidak perlu bimbang.

Program RTG dilancarkan untuk membantu atlet negara meraih pingat emas pertama Malaysia di Olimpik menerusi sokongan menyeluruh dari segi latihan, fasiliti, pemulihan serta bantuan kepakaran teknikal.

Sementara itu, menyentuh mengenai Majlis Berbuka Puasa Parlimen Segambut, Hannah berkata ia adalah hasil kerjasama bersama Korean Society, yang turut dihadiri oleh Menteri & Konsul Jeneral Kedutaan Republik Korea di Malaysia, Lee Han-il.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan