WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERDA SANTUNI KOMUNITI KAMPUNG MENERUSI PROGRAM SENTUHAN KASIH RAMADAN

22/03/2025 08:34 PM

TASEK GELUGOR, 22 Mac (Bernama) -- Bersempena Ramadan kali ini, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) meneruskan program menyantuni masyarakat luar bandar menerusi Sentuhan Kasih Ramadan PERDA.

Pengerusi PERDA Datuk Shaik Hussein Mydin berkata program itu bertujuan merapatkan ukhuwah antara komuniti kampung dan PERDA, selain menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf, anak yatim, dan ibu tunggal bagi meringankan beban mereka menjelang Aidilfitri.

“Program ini merupakan kesinambungan daripada majlis-majlis sama yang dianjurkan PERDA di bawah Program Pembangunan Komuniti Harmoni.

"Bagi Sentuhan Kasih Ramadan, sebanyak tiga siri diadakan, dengan dua telah pun selesai, iaitu di Masjid Nurul Huda, Sungai Chenaam, Nibong Tebal pada 8 Mac dan Masjid Ara Kuda pada 16 Mac lalu. Program hari ini di Masjid Ar Rahman, Tasek Gelugor merupakan yang terakhir dan terbesar bagi tahun ini,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut di Masjid Ar Rahman, Padang Cempedak, di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, dan Pengurus Besar PERDA, Datuk Mohd Asri Baharum.

Pada majlis berkenaan, seramai 300 asnaf di sekitar Tasek Gelugor, termasuk pelajar tahfiz dan anak yatim, menerima sumbangan duit raya dengan jumlah keseluruhan RM30,000, yang sebahagiannya merupakan sumbangan peribadi Pengerusi PERDA.

Shaik Hussein berkata selain itu, masjid berkenaan turut menerima sumbangan duit raya sebanyak RM10,000, manakala dua lagi masjid di Nibong Tebal dan Ara Kuda masing-masing menerima RM2,000.

“Tahun ini, bersempena Ramadan, Bahagian Pembangunan Insan turut melaksanakan program Singgah Sahur, yang telah diadakan pada 16 Mac lepas.

“Program ini bertujuan menyantuni petugas perkhidmatan awam yang beroperasi 24 jam sehari, termasuk di hospital dan agensi keselamatan sekitar Pulau Pinang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan