KANGAR, 23 Mac (Bernama) -- Golongan kurang berkemampuan masih berpeluang mendapatkan pakaian raya berkualiti secara percuma melalui Butik Komuniti Sukarelawan Kebajikan Negeri Perlis sebagai persiapan menyambut Aidilfitri nanti.
Pengerusi Perlis Volunteer Action Community (PVAC) Mohd Effendey Harun berkata butik komuniti yang dikendalikan PVAC itu menerima sumbangan pakaian baharu dan terpakai dalam keadaan baik daripada pelbagai pihak yang prihatin terhadap kebajikan golongan memerlukan.
"Butik ini menawarkan pelbagai jenis pakaian daripada kanak-kanak hingga dewasa, termasuk aksesori yang boleh dipilih sendiri. Kami memastikan semua pakaian yang diterima dikelaskan mengikut saiz, dibersihkan dan dibungkus semula untuk memastikan kebersihannya," katanya kepada pemberita pada Hari Terbuka Butik PVAC di Repoh dekat sini hari ini.
Mohd Effendey berkata pihaknya tidak akan menerima sumbangan pakaian yang lusuh dan tidak sempurna bagi memastikan golongan memerlukan itu memperoleh pakaian yang masih elok untuk dipakai.
Beliau berkata orang ramai juga dialu-alukan menyumbang pakaian baharu atau terpakai kepada butik komuniti berkenaan agar lebih ramai dapat manfaatnya, dengan menghubungi talian 019-4069955 untuk janji temu bagi penghantaran pakaian.
"Program memberikan pakaian percuma kepada mereka yang memerlukan ini akan diteruskan sepanjang tahun bagi membantu, khususnya golongan asnaf di Perlis. Terima kasih kepada MAIPs (Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis) yang menyediakan premis untuk PVAC beroperasi," katanya.
Sementara itu, pengunjung butik komuniti itu, Siti Lailatul Aina Ahmad Sabri, 23, berkata inisiatif sedemikian memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan memiliki pakaian raya berkualiti bagi menyambut Aidilfitri nanti.
"Di butik ini ada banyak pilihan pakaian, termasuk baju bayi, kasut dan aksesori. Orang ramai yang memerlukan boleh datang dan memilih pakaian yang sesuai," katanya.
Aida Shafiza Adenan, 37, pula berkata usaha memberi pakaian percuma menerusi butik komuniti itu sangat membantu meringankan beban mereka yang berhadapan kekangan kewangan dalam memenuhi keperluan untuk persiapan raya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial