WILAYAH - SABAH > BERITA

MALAYSIA PENGERUSI ASEAN 2025, PENGIKTIRAFAN KEPADA PIMPINAN NEGARA - HAJIJI

22/03/2025 09:28 PM

TUARAN, 22 Mac (Bernama) -- Pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 menjadi penunjuk yang mencerminkan kepercayaan dan pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap kebolehan dan kemampuan pimpinan negara.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata semenjak menerajui kepimpinan negara, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya meletakkan kembali kedudukan Malaysia di persada dunia.

“Semua ini adalah indikator yang menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia berada  pada landasan yang tepat di bawah kepimpinan Anwar.

“Ini adalah satu pencapaian yang amat membanggakan. Selain itu, pertumbuhan ekonomi negara juga amat menggalakkan, para pelabur asing berduyun-duyun datang untuk membawa pelaburan yang bernilai ratusan bilion ringgit," katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI Peringkat Negeri di Padang Istiadat di sini hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Anwar, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Ketua Menteri berkata Anwar juga sering diundang ke pelbagai majlis forum antarabangsa untuk  menyampaikan pandangan negara berhubung isu-isu berkaitan kepentingan komuniti antarabangsa. 

Beliau berkata ia sebagai tanda semangat toleransi yang tinggi dan perpaduan yang jitu, kekal sebagai kunci kepada kesatuan dan kekuatan masyarakat di negara ini untuk terus menikmati kehidupan dalam suasana harmoni, aman dan sejahtera.

Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri terus memperhebat program membela golongan miskin antaranya pemberian bantuan bulanan RM300 seorang selama setahun melibatkan 100,000 penerima.

Turut dilaksanakan katanya pemberian 3,000 rumah menerusi program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya kepada golongan miskin tegar, inisiatif memberikan pekerjaan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) serta bantuan subsidi tiket kapal terbang RM600 kepada pelajar Sabah yang menuntut di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.

Beliau berkata pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negeri tetapi ingin pulang ke kampung masing-masing juga diberi RM300 seorang selain peruntukan bagi biasiswa ditambah daripada RM50 juta kepada RM128 juta tahun ini. 

"Tahun lalu kerajaan negeri telah membelanjakan sekitar RM470 juta untuk pembangunan modal insan dan pendidikan," tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan