WILAYAH - SARAWAK > BERITA

EMPAT KAPAL DALAM PROSES PELUPUSAN TERBAKAR DI TOK BALI

23/03/2025 03:51 PM

KOTA BHARU, 23 Mac (Bernama) -- Empat kapal Kelas C yang dalam proses pelupusan, musnah dalam kebakaran di kawasan bersebelahan Pangkalan Maritim, Muara Tok Bali, di sini, awal pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tok Bali Azman Ibrahim berkata kebakaran dipercayai berlaku kira-kira 3 pagi tadi.

“Sebaik menerima laporan, sepasukan enam anggota bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira enam kilometer daripada balai.

“Kebakaran menyebabkan tahap kemusnahan berbeza bagi setiap kapal, iaitu 70 peratus bagi kapal pertama, 50 peratus bagi kapal kedua dan ketiga, serta 20 peratus bagi kapal keempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 80 meter dan dua pancutan daripada pam angkut serta sumber air terbuka dan kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh hampir sejam sebelum operasi tamat sepenuhnya pada 7.54 pagi.

Azman berkata tiada kecederaan dilaporkan manakala siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan