WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEMALANGAN MAUT: KKR ARAHKAN PIHAK KONSESI SEGERA BAIK PULIH JALAN BERLUBANG

23/03/2025 05:12 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengarahkan pihak konsesi dilantik mengambil tindakan segera membaik pulih jalan berlubang di Jalan Sengkang-Felda Inas-Bandar Tenggara, Johor, yang meragut nyawa dua beradik dalam kemalangan pada Jumaat lepas.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pihak konsesi telah diarah membuat tampalan sementara dalam tempoh tiga jam pada hari kejadian dan melaksanakan tampalan kekal dalam tempoh 24 jam.

“Selain itu, kekerapan rondaan di laluan tersebut dan lain-lain laluan ditingkatkan manakala lokasi jalan berlubang yang dikenal pasti diambil tindakan dalam masa 24 jam.

“Papan tanda memaklumkan jalan rosak juga akan diletakkan di lokasi kerosakan jalan yang memberi risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dilaporkan dua beradik berusia 17 dan 16 tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka terlanggar lubang ketika dalam perjalanan ke sekolah.

Menzahirkan rasa sedih dan simpati kepada keluarga mangsa, Nanta berkata beliau sudah kerap menekankan bahawa kerja-kerja penyenggaraan perlu diberikan perhatian serius kerana melibatkan nyawa manusia.

“Namun, dalam berhadapan situasi kritikal ini, menuding jari kepada mana-mana pihak bukan pilihan yang sesuai kerana tindakan segera sudah seharusnya diberi perhatian.

“Justeru, saya sudah mengarahkan tindakan segera diambil dan telah memanggil semua terlibat untuk memberikan laporan lengkap dan terperinci kepada saya. Amaran keras juga telah saya berikan berkali-kali sebelum ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Nanta berkata di bawah polisi penyenggaraan aset, Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui piagam pelanggannya menyatakan sekiranya terdapat kerosakan jalan raya, tampalan sementara hendaklah dilaksanakan pihak konsesi jalan Persekutuan yang dilantik dalam tempoh sehari manakala tampalan kekal perlu dilaksana dalam tempoh tiga hari.

Bagaimanapun, beliau berkata bagi kerja pembaikan berskala besar, permohonan peruntukan perlu diangkat terlebih dahulu dan ia boleh dibuat secara tahunan dan berfasa.

Beliau berkata tempoh pembaikan pula akan mengambil masa antara sebulan hingga setahun, tertakluk kepada jenis dan kompleksiti pembaikan serta kelulusan peruntukan yang diterima.

Nanta berkata bagi penyenggaraan kerja-kerja baik pulih, setiap tahun JKR bersama pihak syarikat konsesi yang dilantik akan melaksanakan pemeriksaan ke seluruh rangkaian jalan Persekutuan di Malaysia.

“Hasil pemeriksaan ini kemudian akan diangkat kepada kerajaan melalui KKR untuk kelulusan. Setelah menerima kelulusan peruntukan kerja daripada pihak kerajaan, pihak JKR akan mengarahkan syarikat konsesi yang dilantik untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan jalan seperti yang telah dikenal pasti sebagai contoh overlay (lapisan baharu) mahupun mill and pave (mengikis permukaan jalan lama dan ganti lapisan baharu).

“Kerja-kerja ini boleh dilaksanakan dalam tempoh tiga minggu hingga tiga bulan setelah peruntukan diterima bergantung kepada ketersediaan konsesi, perancangan kerja dan penyelarasan bersama agensi terlibat di lokasi pembaikan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan