WILAYAH - SARAWAK > BERITA

5,000 PERANTAU PAHANG DAPAT BAUCAR PETROL, DIESEL UNTUK PULANG BERAYA

24/03/2025 10:19 AM

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Sebanyak 5,000 perantau anak kelahiran Pahang yang berada di luar negeri itu menerima baucar bagi pembelian petrol atau diesel bernilai RM50 menerusi program ‘Moh Balik Raya ke Pahang 2025’.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata program berkenaan yang memasuki tahun kedua penganjuran bertujuan menggalakkan anak Pahang pulang menyambut Aidilfitri tidak lama lagi. 

"Anak-anak Pahang perlu memberi sokongan kepada kerajaan negeri dalam usaha membangun dan memajukan negeri itu.

“Pahang akan seiring dengan negeri maju yang lain seperti Pulau Pinang, Selangor dan Johor. Kita harus doakan kesejahteraan negeri kita,” katanya pada program penyerahan baucar berkenaan di Stadium Titiwangsa di sini malam ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Sekretariat Perantau Anak Pahang (MAHASISWA) Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Sementara itu, Pegawai Tadbir Sekretariat Perantau Anak Pahang Syed Anas Syed Ali berkata pihaknya menerima 52,471 permohonan tahun ini, namun hanya 5,000 pendaftaran awal diterima.

“Kita akan teruskan program ini dan kita harap ramai lagi anak perantau Pahang yang mendaftar untuk mendapat manfaat ini dan supaya kita tahu berapa ramai perantau yang berada di Kuala Lumpur ini,” katanya.

Seorang penerima Zuraini Md Zain, 48, yang berasal dari Raub berkata pemberian baucar itu sedikit sebanyak dapat digunakan untuk pulang ke kampung halamannya nanti.

“Alhamdulillah, dapat isi minyak atau bayar tol. Saya harap program sebegini dapat diteruskan dan jika ada peruntukan lebih, mungkin boleh dinaikkan jumlah baucar itu,” katanya yang tinggal di Taman Melawati.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan