WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PAMB TEGASKAN KOMITMEN TERHADAP LANGKAH INTERIM BNM

25/03/2025 09:15 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Prudential Assurance Malaysia Bhd (PAMB) menegaskan komitmen sepenuhnya terhadap langkah-langkah interim Bank Negara Malaysia (BNM) di sebalik laporan baru-baru ini ia menaikkan premium insurans kesihatan.

Dalam kenyataan hari ini, PAMB berkata ia menghubungi pemegang polisi secara berperingkat sejak 18 Mac lepas mengenai maklumat terkini itu, memperincikan langkah dengan premium dan caj insurans yang dikemas kini.

PAMB berkata langkah itu termasuk pelarasan premium secara berperingkat dan bantuan tambahan kepada pemegang polisi yang layak. 

Laporan baru-baru ini memaklumkan Prudential Malaysia akan meningkatkan premium bagi insurans perubatannya dengan tahap berbeza-beza, dengan kenaikan 19.6 peratus dalam tuntutan insurans.

Menurut PAMB artikel berkenaan merujuk petikan daripada surat kepada pelanggannya yang menggariskan purata kadar inflasi perubatan satu daripada pelan perubatannya PRUHealth susulan peningkatan bilangan pemegang polisi yang membuat tuntutan dan jumlah purata tuntutan mereka.

“Maklumat ini dikongsikan untuk membantu pemegang polisi memahami faktor yang mempengaruhi kos penjagaan kesihatan dan memastikan pematuhan kepada garis panduan,” menurut kenyataan itu.

PAMB berkata inflasi kos perubatan adalah isu semasa negara yang melibatkan semua lapisan masyarakat.

Menurutnya langkah-langkah interim BNM adalah komitmen bersama industri insurans dan takaful untuk melaksanakan pelarasan ini secara bertanggungjawab dan telus.

“Keutamaan kami adalah untuk memastikan pelanggan menerima sokongan dan penjelasan yang diperlukan dan mereka memahami pilihan yang tersedia untuk mereka berkaitan perlindungan polisi,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan