WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KOMITMEN APM DAN SUKARELAWAN PASTIKAN KESEJAHTERAAN MASYARAKAT AMAT DIHARGAI - ZAHID

24/03/2025 02:57 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Komitmen serta dedikasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) termasuk sukarelawan dalam pengurusan bencana, keselamatan awam dan misi kemanusiaan amat dihargai, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam hantaran di Facebook hari ini beliau berkata sepanjang lebih tujuh dekad penubuhannya, APM bersama pasukan sukarelawan telah menjadi tunjang dalam memastikan kesejahteraan masyarakat terus terbela.

"Peranan sukarelawan bukan sahaja meringankan beban ketika bencana, tetapi juga memperkukuh perpaduan serta kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi cabaran mendatang.

"Teruskan berkhidmat, teruskan berbakti untuk negara," katanya yang turut mengucapkan selamat menyambut ulang tahun Hari Pertahanan Awam ke-73, hari ini.

Mengenai tema sambutan Hari Pertahanan Awam tahun ini iaitu "Sukarelawan dan Pertahanan Awam: Teras Kesejahteraan Nasional", Ahmad Zahid berkata ia mencerminkan betapa pentingnya semangat kesukarelawanan dalam memperkukuh daya tahan negara.

"Sebagai Menteri yang menerajui APM, saya berasa amat berbangga melihat bagaimana organisasi ini terus berkembang dan menjadi semakin dekat di hati rakyat," katanya.

Hari Pertahanan Awam Sedunia disambut pada 1 Mac setiap tahun, sebagai tanda penghargaan kepada semua anggota pertahanan awam di seluruh dunia yang sentiasa bersiap siaga melindungi rakyat dalam apa jua keadaan.

Di Malaysia, sambutan Hari Pertahanan Awam menjadi lebih bermakna apabila bulan Mac turut diangkat sebagai Bulan Pertahanan Awam, dengan kemuncaknya adalah Sambutan Hari Ulang Tahun APM yang ke-73 hari ini.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan