WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LAPANGAN TERBANG SHARJAH BERSIAP SEDIA KENDALIKAN LEBIH 500,000 PENUMPANG SEMPENA AIDILFITRI

26/03/2025 12:23 AM

SHARJAH (Emiriah Arab Bersatu), 25 Mac (Bernama-WAM) -- Lapangan Terbang Sharjah mengumumkan kesiapsiagaan penuh menjelang lonjakan trafik udara yang dijangka berlaku sepanjang tempoh cuti Aidilfitri.

Antara 27 Mac hingga 6 April, lapangan terbang di Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu dijangka mengendalikan lebih 500,000 penumpang dan mengendalikan operasi 3,344 penerbangan.

Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Sharjah (SAA) mengesahkan yang semua persiapan operasi dan logistik dimuktamadkan dengan kerjasama rakan strategik serta pihak berkaitan bagi memastikan kelancaran operasi dan memberikan pengalaman perjalanan yang selaras dengan piawaian antarabangsa tertinggi.

Sebagai sebahagian daripada pelan operasi komprehensif, SAA menempatkan sumber manusia yang mencukupi di semua kawasan utama, dengan penekanan khusus pada pengukuhan pasukan perkhidmatan pelanggan untuk memberikan sokongan segera kepada penumpang.

Semua kemudahan dan perkhidmatan sokongan disiapkan sepenuhnya bagi mencerminkan kedudukan lapangan terbang ini sebagai hab penerbangan serantau terkemuka.

Selaras dengan komitmennya terhadap perkhidmatan inklusif, penekanan khusus diberikan kepada kemudahan khas untuk warga emas, kanak-kanak serta individu kelainan upaya bagi memastikan keselesaan mereka dan memenuhi keperluan khusus.

Lapangan Terbang Sharjah terus mempertingkatkan perjalanan digitalnya dengan menggalakkan penggunaan teknologi pintar yang membolehkan prosedur daftar masuk lebih pantas dan cekap.

Pengenalan kaedah digital ini adalah sebahagian daripada strategi transformasi lapangan terbang yang lebih luas, bertujuan menyediakan pengalaman perjalanan yang bersepadu dan berasaskan teknologi.

Penumpang dinasihatkan agar tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya tiga jam sebelum waktu berlepas bagi melengkapkan urusan perjalanan dengan lancar.

-- BERNAMA-WAM


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan