ISKANDAR PUTERI, 25 Mac (Bernama) -- Revolusi pasukan bola sepak Malaysia bermula dengan langkah kanan selepas skuad Harimau Malaya menewaskan Nepal 2-0 pada perlawanan pertama Kumpulan F kempen kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim di sini, malam ini.
Pemain warisan baharu Hector Hevel memperkenalkan dirinya kepada peminat tempatan dengan bergaya apabila meletakkan pasukan negara mendahului pada separuh masa pertama sebelum jaringan pemain pertahanan Corbin Ong di babak kedua melengkapkan kemenangan penting pasukan.
Malaysia, di bawah bimbingan pengendali baharu, Peter Cklamovski, mempamerkan penguasaan permainan, mengawal tempo perlawanan dengan hantaran kemas dan pergerakan tersusun, namun berdepan kesukaran menembusi pertahanan Nepal, terutamanya di separuh masa pertama.
Meskipun jelas menguasai bahagian tengah, anak buah Cklamovski kelihatan masih mencari keserasian dalam merangka serangan yang lebih berkesan apabila beberapa peluang terhidang gagal disudahkan dengan baik, sama ada disekat benteng lawan atau tersasar dari sasaran.
Malaysia yang bermula garang hampir berada di depan seawal minit kelapan, namun hantaran lintang cantik Arif Aiman Mohd Hanapi dari sebelah kanan gagal ditanduk kemas oleh Endrick Dos Santos.
Arif Aiman sekali lagi mencuri tumpuan apabila terlepas peluang terbaik untuk membuka jaringan selepas rembatannya dari jarak dekat tersasar ke kiri gawang pada minit ke-25.
Malaysia akhirnya menemui rentak untuk merobek gawang skuad kendalian Matt Ross itu apabila Hevel, pemain tengah kelahiran Belanda yang menyertai pasukan negara minggu lalu, melepaskan rembatan dari luar kotak penalti yang terkena pertahanan lawan sebelum menerjah jaring pada minit ke-29.
Bersambung babak kedua, penyerang naturalisasi Romel Morales hampir menggandakan kedudukan buat Malaysia, namun tandukannya selepas menerima hantaran rakan sepasukan sekadar terkena tiang pada minit ke-60.
Kekecewaan itu bagaimanapun dibalas oleh Corbin selepas beliau yang tidak dikawal menolak bola hantaran kemas Arif Aiman dari sebelah kiri untuk menjaringkan gol kedua negara pada minit ke-71.
Sementara itu, pemain sayap Mohamad Faisal Abdul Halim membuat penampilan pertamanya dalam jersi Harimau Malaya sejak insiden serangan asid pada Mei tahun lepas apabila menggantikan kapten Dion Cools ketika perlawanan berbaki kurang 20 minit.
Dalam pada itu, Vietnam membuka kempen dengan cemerlang selepas membelasah Laos 5-0 pada satu lagi aksi di Stadium Binh Duong, sekali gus mendahului carta kumpulan dengan berkongsi tiga mata dengan Malaysia di tempat kedua.
Selepas ini, Malaysia dijadual melayani kunjungan Vietnam pada 10 Jun dan berkunjung ke Laos pada 9 Okt.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial