WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERMOHONAN UP_TVET PERDANA AMBILAN JULAI 2025 DIBUKA 14 APRIL-15 JUN - AHMAD ZAHID

24/03/2025 04:53 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Permohonan untuk menyertai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi UP_TVET Perdana ambilan Julai 2025 akan dibuka mulai 14 April hingga 15 Jun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata ini bagi memberi peluang kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan individu yang berminat, untuk meneroka bidang kemahiran yang relevan dengan industri.

“Justeru, saya menyeru semua lapisan masyarakat agar memanfaatkan peluang ini dan menjadikan TVET sebagai pilihan utama kerjaya.

“TVET bukan sahaja membuka laluan pekerjaan yang luas, tetapi juga membentuk tenaga kerja yang lebih berdaya saing dalam pasaran global,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sejak 2023, kerajaan memperkenalkan satu saluran tunggal menerusi portal Unit Pengambilan TVET atau UP_TVET bagi menyelaraskan permohonan kemasukan ke semua institusi TVET yang lebih fleksibel mengikut keperluan dan minat individu di bawah dua kategori.

Ahmad Zahid berkata UP_TVET Perdana menawarkan program TVET sepenuh masa di Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA), dengan permohonan dibuka dua kali setahun bagi pengambilan Januari dan Julai.

Beliau berkata UP_TVET Flexi pula menyediakan kursus jangka panjang dan pendek yang lebih fleksibel dan terbuka kepada semua individu yang ingin meningkatkan kemahiran atau menukar bidang kerjaya dengan permohonan dibuka sepanjang tahun.

Ahmad Zahid berkata kini terdapat 1,398 institusi TVET di seluruh negara, terdiri daripada 673 institusi TVET awam, institusi swasta (697), dan institusi di bawah kerajaan negeri (28).

“Ekosistem TVET yang luas dan dinamik ini menawarkan program kemahiran yang sejajar dengan keperluan industri serta perkembangan ekonomi semasa,” katanya.

Dalam era ekonomi digital dan perindustrian yang berkembang pesat, Ahmad Zahit berkata TVET menjadi tunjang kepada pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi, khususnya dalam sektor-sektor strategik seperti automasi, teknologi hijau dan kecerdasan buatan (AI).

“Graduan TVET bukan sahaja mendapat akses kepada peluang pekerjaan yang lebih luas, malah berpeluang menyumbang kepada inovasi dan kemajuan negara,” katanya.

Untuk maklumat lanjut dan permohonan, orang ramai boleh melayari laman sesawang https://mohon.tvet.gov.my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan