NEW YORK, 21 Okt (Bernama-WAFA) -- Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) melaporkan sebanyak 71 serangan oleh pendatang haram di Tebing Barat antara 7 hingga 13 Okt, separuh daripadanya dikaitkan dengan musim menuai zaitun, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
OCHA menjelaskan bahawa pendatang haram bertindak menyerang penduduk Palestin di 27 kampung di Tebing Barat, mengakibatkan kecederaan dan kerosakan harta benda.
Kejadian itu termasuk menyerang petani, mencuri hasil tanaman atau peralatan, serta memusnahkan pokok zaitun.
Sepanjang musim menuai zaitun setiap tahun, tanah pertanian Palestin sering menjadi sasaran serangan berulang oleh pendatang haram dan tentera pendudukan.
Petani Palestin terus berdepan ancaman dan gangguan hingga menghalang mereka daripada mengakses tanah sendiri, menyebabkan kerugian besar dan menambah penderitaan di bawah pendudukan.
Sejak 7 Okt 2023, pendatang haram Yahudi dilaporkan melancarkan 7,154 serangan terhadap rakyat Palestin dan harta benda mereka, mengakibatkan 33 kematian di Tebing Barat.
Wall and Settlement Resistance Commission memaklumkan bahawa tindakan ganas tentera pendudukan dan pendatang haram telah menyebabkan kemusnahan 48,728 pokok, termasuk 37,237 pokok zaitun yang dicabut, ditebang atau dimusnahkan.
-- BERNAMA-WAFA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial