WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENGORBANAN ANGGOTA POLIS HARUS DISYUKURI, DIHARGAI - FADILLAH

25/03/2025 01:27 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Semangat dedikasi dan pengorbanan seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bukan sahaja rela berkhidmat sepanjang masa, tetapi sentiasa bersedia berkorban nyawa demi rakyat serta negara tercinta, harus disyukuri dan dihargai.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata tiada harta di dunia ini yang dapat membalas jasa dan pengorbanan semua anggota keselamatan negara.

"Semoga setiap titis keringat yang ditabur mendapat ganjaran kebaikan dan dikurniakan kerahmatan," kata Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerusi hantaran di Facebook.

Sempena Hari Polis ke-218 yang disambut hari ini, Fadillah berkata tema 'Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada' adalah slogan keramat yang dipegang seluruh pegawai dan anggota PDRM dalam memberi perkhidmatan terbaik demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat serta keamanan negara. 

"Terima kasih wira dan wirawati negara. Jasa kalian semua hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalasnya. Selamat Menyambut Hari Polis ke-218," katanya.

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata hubungan erat antara polis dan masyarakat perlu terus diperkukuh kerana keselamatan negara bukan hanya terletak di bahu pasukan keselamatan, tetapi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia.

Beliau berkata setiap anggota PDRM menggalas tanggungjawab yang bukan sahaja dilihat sebagai suatu profesion, tetapi amanah besar yang menuntut keberanian, dedikasi, dan keikhlasan.

“Saya mengucapkan selamat menyambut Hari Polis ke-218 kepada seluruh warga PDRM. Institusi ini sentiasa dekat di hati saya, membawa bersama kenangan dan pengalaman berharga ketika saya berkhidmat sebagai Menteri Dalam Negeri.

“Setiap detik bersama mereka mengukuhkan rasa hormat dan penghargaan saya terhadap dedikasi serta pengorbanan yang dicurahkan demi keamanan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut berharap PDRM terus teguh dan bersemangat dalam meneruskan khidmat bakti demi kedaulatan dan kesejahteraan tanah air tercinta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan