WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SME BANK LANCAR SKIM PEMBIAYAAN VANIGHAM BUAT USAHAWAN INDIA

25/03/2025 01:31 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- SME Bank melancarkan Skim Pembiayaan Vanigham (VFS) khusus kepada usahawan masyarakat India untuk mengembangkan perniagaan serta meningkatkan daya saing mereka.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Seri R.Ramanan berkata skim itu memperuntukkan dana pembiayaan berjumlah RM50 juta untuk perolehan mesin dan peralatan serta kenderaan komersial yang merupakan elemen penting dalam perniagaan.

“Kami telah bawa inisiatif ini kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi tujuan kelulusan serta bantuan, dan daripada itu, kami menerima subisidi tambahan satu peratus on the profit rate. Produk ini turut menawarkan pembiayaan daripada RM100,000 hingga RM300,000,” katanya.

Beliau menyasarkan sehingga 250 pendaftaran dalam kalangan usahawan India bagi VFS, sebagaimana skim-skim usahawan yang lain seperti Prosperity Empowerment and A New Normal for Indian Women (PENN) dan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i).

Ramanan berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan VFS di Menara SME yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian KUSKOP Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim.

“Sebagai contoh, program BRIEF-i yang diperuntukkan RM50 juta, telah habis digunakan, malah ada tambahan permohonan. Sama juga seperti program Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).

“Saya difahamkan untuk VFS, kita sasar 250 orang akan terima manfaat. Apa yang lebih penting adalah melihat kepada keperluan,” katanya.

Usahawan India yang berminat dengan VFS boleh mengemukakan permohonan bermula hari ini sehingga 31 Dis 2027 dengan melayari www.smebank.com.my atau hubungi 03-26037700.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan