WILAYAH - UTARA > BERITA

HANYA 30 PERATUS ANGGOTA DAN PEGAWAI JBPM PERLIS DIBENARKAN CUTI RAYA

25/03/2025 11:21 PM

KANGAR, 25 Mac (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis mengehadkan hanya 30 peratus anggota dan pegawainya mengambil cuti bersempena dengan Aidilfitri untuk memastikan penugasan bagi operasi jabatan itu sentiasa bersiap siaga pada musim perayaan.

Pengarah Bomba Perlis Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata anggota dan pegawai bertugas akan memperhebat rondaan serta pemantauan sepanjang sambutan hari raya itu terutama di kawasan rekreasi yang berisiko berlaku kejadian lemas.

"Selain itu, pihak kami juga akan memantau aktiviti bermain mercun yang sering dikaitkan dengan kecederaan dan kebakaran pada musim perayaan.

"Kami juga akan memastikan aset dan peralatan berada dalam keadaan siap siaga serta mempergiat pemeriksaan pili bomba bagi memastikan sumber air sentiasa tersedia jika berlaku kecemasan," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan bersama Bomba Komuniti dan Pelepasan Op Ronda Raya Aidilfitri 2025 peringkat negeri di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kangar di sini hari ini.

Sementara itu, Wan Mohd Hamizi turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi langkah keselamatan termasuk pematuhan terhadap piawaian keselamatan kebakaran sepanjang musim perayaan bagi memastikan suasana raya disambut dengan selamat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan